Hotel empat bintang bakal dibina di Morib, pacu sektor pelancongan

22 Oct 2026 • 1:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Hotel empat bintang bakal dibina di Morib, pacu sektor pelancongan

SHAH ALAM, 22 OKT: Morib, Kuala Langat bakal menerima sebuah hotel bertaraf empat bintang menerusi projek rejuvenasi dan pembangunan semula kawasan itu bagi merancakkan sektor pelancongan serta pertumbuhan ekonomi setempat.

EXCO Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim berkata pembangunan hotel yang dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun itu antara usaha menjadikan Morib sebagai destinasi pelancongan di selatan Selangor.

Menurutnya, usaha berkenaan turut merangkumi naik taraf kelab golf dan pemulihan beberapa kawasan bagi meningkatkan daya tarikan Morib kepada pengunjung.

Image from: Hotel empat bintang bakal dibina di Morib, pacu sektor pelancongan
EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Kawasan seperti Morib boleh dinaik taraf menerusi pembangunan kelab golf dan pembinaan hotel empat bintang. Di Morib juga terdapat Dataran Dato’ Seri Harun Idris selain beberapa projek pemulihan untuk menjadikannya destinasi pelancongan di anjung selatan.

“Ini antara usaha membangunkan Morib bagi meningkatkan sektor pelancongan. Projek ini menjadi anjakan kepada kawasan berkenaan dengan pembaharuan dijangka dapat dilihat dalam tempoh dua hingga tiga tahun,” katanya kepada Media Selangor.

Pada September lalu, Kerajaan Negeri menerusi Permodalan Negeri Selangor Berhad melancarkan projek rejuvenasi dan pembangunan semula Morib dengan nilai pembangunan kasar (GDV) awal RM850 juta.

Image from: Hotel empat bintang bakal dibina di Morib, pacu sektor pelancongan
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat kawasan sekitar pada Majlis Peluncuran Rejuvenasi dan Pembangunan Semula Padang Golf Sri Morib dan Projek Bandar Peranginan Morib di Lapangan Santai Harmoni @ Kelab Golf Sri Morib, Kuala Langat pada 5 September 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek yang dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan Lim Seong Hai Capital Berhad dan Seriemas Development Sdn Bhd itu akan bermula tahun ini.

Pembangunan Sri Morib Golf and Country Club menjadi fasa pertama projek berkenaan, membabitkan kawasan seluas 142 ekar yang akan dinaik taraf kepada padang golf 18 lubang, par 72.

Menurut Amirudin, kerja pemulihan padang golf itu dijangka mengambil masa dua tahun.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved