Kuala Pilah MTB Heritage Challenge lonjak pelancongan daerah

9 Oct 2026 • 8:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kuala Pilah MTB Heritage Challenge lonjak pelancongan daerah

PETALING JAYA – Penganjuran Kuala Pilah MTB Heritage Challenge 2026 yang dijadualkan berlangsung di Padang Awam Seri Menanti pada 12 Disember ini dijangka merancakkan pelancongan daerah menerusi gabungan sukan berbasikal lasak, keindahan alam dan keunikan warisan tempatan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah, Nawal Mohamed Amin berkata, program bertemakan ‘Exploring Pilah’ itu menyasarkan penyertaan 500 peserta dengan 12 kategori disediakan kepada peminat sukan berkenaan.

“Penganjuran tersebut menjadi platform memperkenalkan tarikan Kuala Pilah, khususnya Seri Menanti selain membawa peserta menikmati panorama kawasan berbukit dan suasana perkampungan sepanjang laluan kayuhan, ” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama bagi membincangkan penganjuran program tersebut semalam.

Katanya, kehadiran peserta bersama ahli keluarga diharapkan dapat menggalakkan kunjungan ke tarikan pelancongan setempat serta memperkenalkan warisan budaya dan kehidupan masyarakat daerah itu.

Pada masa sama katanya, program berkenaan diharap dapat menjana limpahan ekonomi kepada komuniti melalui perbelanjaan pengunjung bagi penginapan, makanan dan pembelian produk tempatan.

Acara yang bakal berlangsung itu menawarkan cabaran kayuhan sejauh kira-kira 35 kilometer melalui jalan raya, kawasan berbukit dan perkampungan, sekali gus menguji ketahanan fizikal peserta.

Hadiah wang tunai keseluruhan hampir RM20,000 disediakan untuk pemenang tempat pertama hingga kelima bagi kategori dipertandingkan.

Selain itu, hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM10,000 turut ditawarkan bagi menambah tarikan dan memeriahkan penganjuran.

Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM70 bagi pendaftaran awal, manakala kadar biasa pula RM80.

Pelbagai acara sampingan turut disediakan, antaranya pertandingan memancing, aktiviti memanah, persembahan basikal BMX dan pameran agensi bagi menarik kehadiran keluarga peserta serta orang ramai.

Menurut Nawal, matlamat penganjuran adalah menjadikan Kuala Pilah MTB Heritage Challenge sebagai acara kayuhan tahunan yang selamat, berdaya saing dan memberi impak positif kepada komuniti serta pelancongan daerah.

The post Kuala Pilah MTB Heritage Challenge lonjak pelancongan daerah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved