KUALA TERENGGANU - Selepas hampir sedekad terbengkalai, projek Hotel Pulau Poh di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu sedia untuk dibuka kepada orang ramai dengan sasaran operasi bermula seawal suku ketiga tahun ini.
Projek yang menelan kos RM97.4 juta itu bakal menjadi pemangkin baharu kepada sektor pelancongan negeri, sekali gus memperkukuh ekosistem pelancongan di kawasan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc (TI), Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, walaupun berdepan pelbagai fasa penangguhan sejak pembinaannya bermula pada 2017, projek itu kini menunjukkan perkembangan positif dan berada dalam fasa persediaan operasi.
Beliau mendedahkan projek tersebut sebelum ini mengalami perubahan perancangan selepas operator hotel yang dikenal pasti menarik diri pada saat akhir sekitar Februari lalu.
"Susulan itu, Terengganu Inc mengambil pendekatan menggabungkan pengalaman dan kepakaran pengurusan daripada dua hotel milik kerajaan negeri bagi memastikan operasi hotel ini dapat dilaksanakan dengan lancar.
"Kita tetap komited untuk memulakan operasi walaupun berdepan beberapa cabaran teknikal. Kita mensasarkan menjelang suku ketiga tahun ini, hotel ini sudah boleh menerima pengunjung," katanya pada sidang media khas di Wisma TI, di sini, pada Isnin.
Menurut Burhanuddin, TI telah memperuntukkan antara RM3 juta hingga RM4 juta bagi memastikan kelancaran operasi hotel bertaraf tiga bintang tersebut.
Jelas beliau, hotel yang menawarkan 150 bilik penginapan itu bakal menjadi ‘anchor’ utama pembangunan di Pulau Poh dengan kadar harga mampu milik, iaitu bermula di bawah RM200 semalam.
"Ia turut dilengkapi dewan konvensyen berkapasiti sehingga 1,000 orang, menjadikannya sangat sesuai untuk penganjuran acara besar termasuk majlis perkahwinan dan persidangan korporat.
"Kita mahu jadikan lokasi ini sebagai pusat aktiviti, bukan sahaja untuk penginapan tetapi juga untuk mesyuarat dan pelancongan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pembinaan hotel tersebut tidak akan menjejaskan pengusaha rumah bot (houseboat) sedia ada, sebaliknya kedua-dua kemudahan itu akan saling melengkapi antara satu sama lain.
Katanya lagi, TI turut diberi tanggungjawab menguruskan keseluruhan Pulau Poh termasuk aspek penyelenggaraan, keselamatan dan kebersihan yang menelan kos tinggi.
"Kos penyelenggaraan sahaja boleh mencecah RM700,000 hingga RM800,000 setahun walaupun belum beroperasi sepenuhnya. Sebab itu kita perlu mempercepat pembukaan hotel ini bagi menjana semula pendapatan," ujarnya.
Selain hotel, kemudahan lain seperti dewan terapung berbentuk kubah, jeti bot laju serta ruang acara turut diperkasakan bagi menarik lebih banyak penganjuran program berskala besar ke Tasik Kenyir.






