Houthi bunuh 58 askar kerajaan disokong Arab Saudi

WorldPolitics
7 Aug 2026 • 10:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Houthi bunuh 58 askar kerajaan disokong Arab Saudi

SANAA: Kumpulan Houthi yang disokong Iran membunuh sekurang-kurangnya 58 anggota tentera kerajaan Yemen dalam serangan peluru berpandu dan dron pada Khamis, menurut sumber tentera, selepas antara hari paling berdarah dalam perang saudara negara itu dalam tempoh empat tahun.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree berkata, kumpulan itu menyerang kedudukan tentera kerajaan menggunakan peluru berpandu balistik dan dron.

Ia adalah sebagai tindak balas terhadap dakwaan peningkatan penempatan tentera yang disokong negara jiran, Arab Saudi.

Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 58 anggota tentera kerajaan dan mencederakan puluhan yang lain, menurut sumber tentera yang enggan namanya didedahkan. 

Sebelum ini, sumber perubatan melaporkan 38 kematian.

Yemen kini menjadi satu lagi medan konflik di Asia Barat susulan perang yang tercetus akibat pertempuran antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel menentang Iran.

Seorang pegawai tentera berkata serangan terhadap kem tentera pada Khamis merupakan yang paling dahsyat di Yemen sejak 2022.

Kementerian Pertahanan kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dalam satu kenyataan memaklumkan angkatan tenteranya akan bertindak balas terhadap serangan itu pada masa dan tempat yang sesuai. 

Pegawai tentera yang enggan dikenali itu berkata sebuah kem tentera di kawasan Al-Ruwaik, wilayah Marib di tengah Yemen telah diserang, selain kem di kawasan Al-Abr dan Al-Wadiah, wilayah Hadramawt, berhampiran sempadan Arab Saudi.

Satu serangan peluru berpandu mengenai anggota tentera ketika perhimpunan pagi di kem Marib, menyebabkan sekurang-kurangnya 45 anggota terbunuh dan cedera, kata seorang sumber tentera yang enggan dinamakan atas faktor keselamatan.

Saree berkata, kawasan Al-Ruwaik, Al-Thaniyah dan Al-Abr antara lokasi yang diserang, dan memberi amaran bahawa kumpulan Houthi bersedia menghadapi sebarang peningkatan konflik.

Yemen, yang dilanda perang selama lebih sedekad, mula terheret ke dalam konflik Asia Barat bulan lalu apabila pemberontak Houthi yang disokong Teheran menamatkan gencatan senjata 2022 dengan kerajaan Yemen yang disokong Arab Saudi.

Houthi menerima ketibaan sebuah pesawat Iran yang membwa pulang delegasi dari pengebumian bekas Pemimpin Tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei secara terus di ibu negara, Sanaa, sekali gus mencetuskan siri serangan balas antara kumpulan itu dengan tentera kerajaan. – AFP/AGENSI

 

The post Houthi bunuh 58 askar kerajaan disokong Arab Saudi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved