
SANAA: Badan penyelarasan maritim yang dikendalikan kumpulan Houthi di Yemen menafikan dakwaan pihaknya merancang mengenakan bayaran terhadap kapal komersial yang melalui Selat Bab el-Mandeb.
Pusat Penyelarasan Operasi Kemanusiaan (HOCC) berkata tiada sebarang keputusan dibuat untuk mengenakan bayaran tersebut, sambil menegaskan laluan strategik itu kekal terbuka secara percuma.
Badan dikendalikan Houthi itu berkata, perkhidmatan laluan selamat yang ditawarkan pihaknya adalah secara sukarela tanpa sebarang bayaran.
“HOCC menegaskan mana-mana individu atau entiti yang meminta bayaran sebagai pertukaran untuk membenarkan laluan di Selat Bab el-Mandeb tidak mewakili Republik Yemen atau HOCC dalam apa juga kapasiti.
“HOCC menggesa syarikat perkapalan supaya tidak membuat sebarang bayaran atau memberikan maklumat kepada individu atau entiti yang tidak diberi kuasa,” menurut kenyataan badan itu semalam.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan Reuters pada Rabu yang mendakwa Houthi sedang mempertimbangkan cadangan mengenakan bayaran ke atas kapal melalui bahagian selatan Laut Merah.
Cadangan itu didakwa timbul seminggu selepas kumpulan disokong Iran itu mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi.
Menurut sumber dipetik Reuters, cadangan mengenakan bayaran tersebut dibincangkan dengan pegawai Iran ketiga beberapa pegawai Houthi mengadakan lawatan ke Teheran pada Julai lalu, namun tiada tarikh pelaksanaan ditetapkan.
Selat Bab el-Mandeb merupakan laluan perkapalan penting yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan menjadi antara laluan utama perdagangan global.
The post Houthi nafi mahu kutip bayaran di Selat Bab el-Mandeb appeared first on Utusan Malaysia.


