
PETALING JAYA: Sebanyak 53 anugerah disampaikan menerusi Majlis Makan Malam Gala HRD Awards 2026 sebagai pengiktirafan terhadap komitmen majikan, penyedia latihan dan jurulatih dalam memperkukuh pembangunan modal insan serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja negara.
HRD Awards yang diperkenalkan pada 2001 itu memasuki edisi ke-25 tahun ini dengan memberi penekanan lebih besar terhadap pencapaian berimpak tinggi, pelaburan strategik dalam latihan dan hasil pembangunan kemahiran yang boleh diukur.
Pengiktirafan berkenaan merangkumi empat kategori utama iaitu Anugerah Menteri Sumber Manusia (Platinum), Anugerah HRD Corp (Emas), Anugerah HRD Corp (Perak) dan Anugerah HRD Corp (Gangsa).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, pelaburan berterusan dalam pembangunan tenaga kerja penting bagi memastikan rakyat Malaysia dilengkapi kemahiran bersesuaian dengan keperluan industri yang sentiasa berubah.
Katanya, pembangunan tenaga kerja berkemahiran dan berdaya saing memerlukan komitmen bersama daripada majikan, penyedia latihan serta jurulatih.
“Pencapaian yang diraikan pada malam ini membuktikan peranan penting setiap pihak dalam memperkukuh modal insan negara serta mempersiapkan tenaga kerja kita untuk menghadapi masa hadapan,” katanya dalam ucapan sempena merasmikan Majlis HRD Awards 2026 anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz berkata, majlis berkenaan turut mengiktiraf sumbangan majikan yang melihat pembangunan insan sebagai pelaburan penting dalam perniagaan, selain penyedia latihan dan jurulatih yang memainkan peranan dalam meningkatkan keupayaan tenaga kerja.
Menurutnya, kejayaan pembangunan modal insan bukan hanya bergantung kepada pelaksanaan program latihan, sebaliknya turut memerlukan perkongsian ilmu, pembinaan keyakinan dan usaha berterusan membantu pekerja mencapai potensi masing-masing.
“Yang paling utama, malam ini adalah tentang tenaga kerja Malaysia, iaitu sebab utama kita semua berada di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Anugerah Menteri Sumber Manusia yang merupakan pengiktirafan tertinggi HRD Awards 2026 diberikan kepada tiga syarikat dan seorang jurulatih atas pencapaian cemerlang dalam peningkatan kemahiran serta pembangunan modal insan.
Penerima bagi tahun ini ialah CIBA Vision Johor Sdn. Bhd. bagi kategori Majikan Besar, Above Creative Events (M) Sdn. Bhd. (Majikan PMKS), Spark Activators Sdn. Bhd. (Penyedia Latihan) dan Karunamoorti Ganthi (Jurulatih).
Pemilihan pemenang dilaksanakan menerusi proses penilaian berperingkat bagi memastikan ketelusan, integriti dan kredibiliti, dengan membabitkan panel penilai luar termasuk wakil persatuan majikan, agensi kerajaan serta Jawatankuasa Eksekutif HRD Corp.
HRD Corp berkata, pihaknya kekal komited menyokong majikan dan memperkukuh ekosistem latihan negara bagi memastikan pelaburan dalam pembangunan tenaga kerja menghasilkan manfaat bermakna kepada pekerja, majikan dan ekonomi negara. – UTUSAN
The post HRD Awards 2026 iktiraf kecemerlangan modal insan appeared first on Utusan Malaysia.






