HRD Awards 2026 rai kecemerlangan dalam pembangunan modal insan

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 7:37 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: HRD Awards 2026 rai kecemerlangan dalam pembangunan modal insan

KUALA LUMPUR – Human Resource Development Corporation (HRD Corp), dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menganjurkan Majlis Makan Malam Gala HRD Awards 2026 di sini, semalam yang menghimpunkan majikan, penyedia latihan dan jurulatih dari seluruh Malaysia bagi meraikan kecemerlangan pembangunan modal insan.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2001, HRD Awards telah menjadi wadah utama dalam memberikan pengiktirafan kepada organisasi dan individu yang memperlihatkan komitmen luar biasa dalam membangunkan bakat, memperkukuh pembelajaran di tempat kerja serta memupuk budaya pembangunan kemahiran secara berterusan.

Meraikan edisi ke-25 tahun ini, ia memberi penekanan yang lebih besar terhadap pencapaian berimpak tinggi, pelaburan strategik dalam latihan serta hasil latihan yang boleh diukur, selaras dengan kepentingan membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran, berdaya suai dan bersedia menghadapi keperluan masa hadapan.

Sebanyak 53 anugerah telah disampaikan merangkumi empat kategori utama iaitu Anugerah Menteri Sumber Manusia (Platinum), serta Anugerah HRD Corp Emas, Perak serta Gangsa.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dalam ucapannya menekankan kepentingan pelaburan berterusan dalam pembangunan tenaga kerja bagi memastikan rakyat Malaysia sentiasa dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi keperluan industri yang sentiasa berubah.

“Pembangunan tenaga kerja yang berkemahiran dan berdaya saing memerlukan komitmen bersama daripada majikan, penyedia latihan dan jurulatih.

“Pencapaian yang diraikan pada malam ini membuktikan peranan penting setiap pihak dalam memperkukuh modal insan negara serta mempersiapkan tenaga kerja kita untuk menghadapi masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz, mengiktiraf sumbangan bersama daripada para majikan, penyedia latihan dan jurulatih dalam membentuk tenaga kerja negara.

“Malam ini adalah tentang majikan yang percaya bahawa pelaburan dalam pembangunan insan sama pentingnya dengan pelaburan dalam perniagaan mereka.

“Ia juga meraikan penyedia latihan yang memahami bahawa tanggungjawab mereka bukan sekadar melaksanakan program latihan, serta jurulatih yang berkongsi ilmu, menyuntik keyakinan dan membantu rakyat Malaysia mencapai kejayaan luar biasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post HRD Awards 2026 rai kecemerlangan dalam pembangunan modal insan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved