HRD Corp iktiraf sumbangan 53 peneraju pembangunan bakat perkukuh kemahiran tenaga kerja tempatan

LocalPolitics
26 Nov 2026 • 6:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HRD Corp iktiraf sumbangan 53 peneraju pembangunan bakat perkukuh kemahiran tenaga kerja tempatan Image from: HRD Corp iktiraf sumbangan 53 peneraju pembangunan bakat perkukuh kemahiran tenaga kerja tempatan amree26/11/2026 - 18:05 RAMANAN Ramakrishan (belakang, tengah) dan Shamir Aziz bergambar dengan semua penerima anugerah HRD Awards 2026 di Kuala Lumpur. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov — Sebanyak 53 anugerah disampaikan menerusi HRD Awards 2026 bersempena edisi ke-25 penganjurannya, sebagai mengiktiraf majikan, penyedia latihan dan jurulatih yang menyumbang kepada pembangunan kemahiran serta modal insan negara.

 

Majlis Makan Malam Gala HRD Awards 2026 anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) itu berlangsung di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar South, pada Rabu dengan turut menerima sokongan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

 

Acara disempurnakan menteri berkenaan, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, yang menekankan kepentingan pelaburan berterusan dalam pembangunan tenaga kerja bagi memastikan rakyat Malaysia memiliki kemahiran bersesuaian dengan perubahan keperluan industri.

 

"Usaha HRD Corp melahirkan ramai tenaga kerja berkemahiran dan berdaya saing memerlukan komitmen bersama-sama majikan, penyedia latihan serta jurulatih dalam memperkukuh pembangunan modal insan negara," jelas beliau menerusi kenyataan pada Khamis.

 

HRD_DagangNews2026
RAMANAN Ramakrishan (enam dari kiri) dan Shamir Aziz (enam dari kanan) bergambar pada HRD Awards 2026 di Kuala Lumpur.

 

Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz pula berkata, pengiktirafan itu meraikan komitmen majikan yang melihat pembangunan insan sebagai pelaburan penting, selain sumbangan penyedia latihan dan jurulatih dalam meningkatkan keupayaan tenaga kerja Malaysia.

 

HRD Awards mula diperkenalkan agensi tersebut pada 2001 dengan menjadi platform bagi mengiktiraf organisasi serta individu yang menunjukkan komitmen dalam pembangunan bakat, pembelajaran di tempat kerja dan peningkatan latihan kemahiran secara berterusan.

 

Bagi edisi ke-25 ini, penekanan diberikan kepada pencapaian berimpak tinggi, pelaburan strategik dalam latihan serta hasil pembangunan kemahiran yang boleh diukur bagi melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran, berdaya suai dan bersedia menghadapi keperluan masa depan.

 

"Sebanyak 53 anugerah disampaikan menerusi empat kategori utama, iaitu Anugerah Menteri Sumber Manusia (Platinum), Anugerah HRD Corp (Emas), Anugerah HRD Corp (Perak) dan Anugerah HRD Corp (Gangsa)," jelas Shamir dalam kenyataan berkenaan.

 

HRD Shamir Aziz_DagangNews2026
SHAMIR Aziz ketika berucap pada HRD Awards 2026 di Kuala Lumpur.

 

Anugerah Menteri Sumber Manusia yang merupakan pengiktirafan tertinggi diberikan kepada CIBA Vision Johor Sdn Bhd bagi kategori Majikan Besar, Above Creative Events (M) Sdn Bhd (Majikan PMKS), Spark Activators Sdn Bhd (Penyedia Latihan) dan Karunamoorti Ganthi (Jurulatih).

 

Penerima anugerah berkenaan dipilih menerusi proses penilaian berperingkat bagi memastikan ketelusan dan kredibiliti, dengan panel penilai terdiri daripada pakar luar termasuk wakil persatuan majikan, agensi kerajaan serta Jawatankuasa Eksekutif HRD Corp.

 

HRD Corp ujar Shamir, kekal komited menyokong majikan dan memperkukuh ekosistem latihan negara bagi memastikan pelaburan dalam pembangunan tenaga kerja menghasilkan manfaat bermakna kepada pekerja, organisasi serta ekonomi negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved