HRD Corp dan SPE jalin kerjasama strategik perkasa pekerja sektor tenaga Malaysia

26/08/2025 - 16:01
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 26 Ogos – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Society of Petroleum Engineers (SPE) Asia Pacific menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyokong pembangunan pekerja sektor tenaga Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab serantau untuk kepakaran teknikal dan inovasi.
Kerjasama itu dirangka untuk memberi impak nyata kepada pekerja sektor tenaga negara dengan merapatkan jurang antara bakat tempatan, kepakaran bertaraf dunia dan kemahiran masa depan.
Presiden SPE 2024, Terry Palisch berkata, ia bukan sekadar latihan semata-mata, tetapi turut membuka akses kepada rangkaian global, ilmu terkini, serta peluang kerjaya berimpak tinggi untuk memperkasakan profesional Malaysia menghadapi peralihan tenaga.
“Dengan kerjasama ini, HRD Corp dan SPE membuka laluan baharu untuk profesional Malaysia berhubung dengan kepakaran global, mempercepatkan perkembangan mereka dan menyumbang secara bermakna kepada masa depan tenaga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


MoU ini dimeterai sempena Persidangan dan Pameran Pengumpulan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon Asia Pasifik (APCC 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, yang dihadiri kira-kira 700 peserta dari 25 negara.
Di bawah kerjasama itu, HRD Corp dan SPE akan melatih sekurang-kurangnya 500 jurutera setahun melalui program teknikal SPE Asia Pacific yang diiktiraf global, memastikan jurutera Malaysia dilengkapi ilmu dan amalan industri terkini.
Beliau berkata, MoU itu juga membolehkan majikan berdaftar HRD Corp menyalurkan levi terus ke penyertaan dalam program SPE termasuk persidangan, bengkel dan acara antarabangsa, menjadikan pembelajaran bertaraf dunia lebih mudah diakses.
“Kerjasama ini juga memperluaskan peluang profesional Malaysia untuk berhubung dengan pakar antarabangsa, mendapatkan pendedahan kepada teknologi inovatif dan menyertai dialog industri berprofil tinggi bagi memperkukuh daya saing global.
“Inisiatif ini turut menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan agenda nasional membina tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya.


Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan berkata, MoU itu selari misi HRD Corp meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia bagi memastikan tenaga kerja berdaya saing, tangkas dan bersedia menghadapi masa depan.
“Majikan berdaftar HRD Corp kini boleh menyalurkan levi mereka kepada latihan teknikal dan program diiktiraf antarabangsa, sekali gus memperluas peluang profesional Malaysia untuk belajar, berkembang dan memimpin,” ujarnya. - DagangNews.com
standard


