HRD Corp, Pernas anjur Pertandingan Keusahawanan Pitch & Grow sempena NTW 2025

23/05/2025 - 16:58
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 23 Mei – Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) menjalin kerjasama strategik dengan Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) bagi menganjurkan Pertandingan Keusahawanan Pitch & Grow bersempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025.
Pertandingan berkonsepkan rancangan realiti "Shark Tank" itu antara aktiviti berimpak tinggi NTW 2025 bagi memperkasa usahawan yang bercita-cita tinggi melalui penyediaan alatan, bimbingan, dan pendedahan untuk merealisasikan idea perniagaan inovatif.
Peserta berpeluang membentangkan rancangan perniagaan kepada panel juri profesional industri dan menerima maklum balas bernilai.
Menurut kenyataan bersama HRD Corp dan Pernas, pertandingan itu bukan sahaja menambah elemen keseronokan dalam proses keusahawanan, malah mendorong peserta berfikir secara strategik dan menambah baik nilai cadangan di hadapan panel juri berpengalaman.
Pemenang utama bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, manakala tempat kedua RM5,000 dan tempat ketiga RM3,000 yang ditaja Pernas sebagai penghargaan terhadap rancangan yang berinovasi dan berdaya maju.

Peserta yang disenarai pendek akan mengikuti Bengkel Cadangan Perniagaan anjuran Pernas di bawah Franchise Institute bagi memperkukuh kemahiran membangunkan dan membentangkan pelan perniagaan secara efektif.
Finalis akan menerima bimbingan dan sokongan selama tiga hingga enam bulan bagi melaksanakan dan memperhalusi rancangan perniagaan mereka.
Kerjasama tersebut mencerminkan komitmen berterusan HRD Corp dalam memacu peningkatan kemahiran, inovasi, dan penyertaan ekonomi rakyat Malaysia sejajar dengan matlamat NTW 2025.
Penyertaan dibuka sehingga 28 Mei 2025.- DagangNews.com
standard




