Hampir separuh akauntan Malaysia cenderung sertai bidang keusahawanan – ACCA

LocalBusiness & Finance
19 May 2025 • 10:21 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hampir separuh akauntan Malaysia cenderung sertai bidang keusahawanan – ACCA

image is not available

19/05/2025 - 10:21

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 19 Mei – Hampir separuh akauntan di Malaysia berhasrat menjadi usahawan manakala sebahagian lagi dijangka beralih kerjaya dalam tempoh dua tahun, kata Tinjauan Global Bakat 2025 oleh Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

Lebih 10,000 responden daripada 175 negara dan 46% responden Malaysia menganggap kerjaya perakaunan sebagai langkah awal untuk memulakan perniagaan sendiri, 64% pula menjangka akan bertukar kerja, dan 62% daripadanya bercadang meninggalkan organisasi sedia ada.

ACCA berkata, trend itu mencerminkan aspirasi akauntan Malaysia yang semakin mahukan kerjaya bersifat inovatif dan bermakna, sejajar dengan perubahan landskap dunia kerja semasa.

Ketua Portfolio ACCA bagi Maritim Asia Tenggara, Andrew Lim berkata, profesional kewangan Malaysia mahukan kerjaya yang membolehkan mereka berinovasi, memimpin, dan mencipta impak.

"Peningkatan minat terhadap keusahawanan, kerjaya berfokuskan kelestarian, serta permintaan tinggi terhadap kerja hibrid menunjukkan pemikiran progresif dalam kalangan profesional kewangan tempatan," katanya dalam satu kenyataan.

Sejumlah 71% responden berminat dalam kerjaya perakaunan berasaskan kelestarian alam sekitar, menjadikan Malaysia antara negara tertinggi yang berminat dalam bidang itu.

Lebih 80% responden memilih kerja secara hibrid sebagai keutamaan, namun 59% masih bekerja sepenuh masa di pejabat, menunjukkan jurang antara harapan pekerja dan dasar organisasi.

Sejumlah 59% responden mengakui kesihatan mental mereka terjejas akibat tekanan kerja, manakala 63% bimbang tidak memperoleh kemahiran mencukupi bagi menghadapi keperluan tempat kerja masa depan. Hanya 25% menyatakan organisasi mereka menyediakan peluang pembelajaran berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Sebanyak 35% akauntan di Malaysia menjalankan pekerjaan sampingan untuk menambah pendapatan, menimbulkan persoalan mengenai kepuasan kerja, dan keseimbangan hidup.

Manakala 73% responden Gen Z dan 47% Gen Y di Malaysia menyatakan hasrat untuk bekerja di luar negara, mencerminkan tarikan kelayakan ACCA dalam membuka peluang kerjaya antarabangsa.

Ketua Global ACCA bagi Kemahiran, Sektor dan Teknologi, Jamie Lyon berkata, latihan perakaunan kini menjadi landasan awal untuk membina kemahiran keusahawanan selaras dengan perubahan aspirasi kerjaya masa kini.

"Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini, dapatan itu menunjukkan majikan perlu segera melabur dalam strategi bakat, membina budaya kerja inklusif, mengutamakan kesejahteraan, dan mempercepat pembangunan kemahiran digital," katanya.- DagangNews.com

standard