liza28/07/2026 - 14:17 Gambar Hiasan / Sumber Laman Web www.hssgroup.com.my Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Julai – HSS Engineers Berhad (HEB) menerusi syarikat bersekutunya, SMHB Sdn Bhd, memperoleh kontrak perunding reka bentuk kejuruteraan bernilai RM34.01 juta bagi Projek Penyaluran Air Mentah dari Sungai Perak untuk bekalan air di kawasan utara Perak dan Pulau Pinang.
Pelantikan itu melibatkan perkhidmatan Perunding Reka Bentuk Utama dan Perunding Reka Bentuk Terperinci pakej ke-4 bagi Skim Bekalan Air Utara Perak dan Penjualan Lebihan Air Terawat ke Pulau Pinang (NPWSS).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, HEB berkata SMHB menerima Surat Pelantikan daripada Gamuda Engineering Sdn Bhd pada 28 Julai 2026 bagi melaksanakan skop perkhidmatan tersebut.
“Kontrak itu mempunyai nilai keseluruhan RM34,005,960 termasuk cukai perkhidmatan dengan tempoh pelaksanaan dianggarkan selama 66 bulan.
Skop Perundingan Merangkumi Reka Bentuk Loji Rawatan Air
“Di bawah pelantikan itu, SMHB akan bertindak sebagai perunding reka bentuk utama bagi keseluruhan projek selain menyediakan reka bentuk terperinci untuk loji rawatan air yang merupakan antara komponen utama dalam pembangunan NPWSS.
“Skop kerja turut merangkumi penyediaan reka bentuk awal, reka bentuk pra-akhir dan reka bentuk akhir, selain memberi sokongan semasa peringkat tender, pembinaan serta sepanjang tempoh liabiliti kecacatan projek,” katanya.
Menurut HEB, kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada hasil, keuntungan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Bagaimanapun, syarikat menjelaskan pelantikan itu tidak akan memberi kesan kepada modal saham atau struktur pegangan saham HEB dan dijangka dibiayai menerusi dana dalaman serta pinjaman luar.
HEB berkata, antara risiko yang dikenal pasti ialah risiko pelaksanaan termasuk pergantungan kepada jadual dan kemajuan projek memandangkan SMHB bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan perundingan bagi pembangunan tersebut.
Lembaga Pengarah Yakin Keupayaan Kumpulan
Menurut syarikat, kumpulan mempunyai pengalaman dan rekod prestasi yang kukuh dalam melaksanakan projek seumpama itu dan berupaya mengurus serta mengurangkan risiko yang berkaitan.
HEB turut memaklumkan bahawa kontrak berkenaan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa kerana ia merupakan urusan yang dijalankan dalam perniagaan biasa kumpulan.
Selain itu, tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang mempunyai kaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam pelantikan tersebut.
Lembaga Pengarah berpandangan penerimaan kontrak itu adalah demi kepentingan terbaik HEB Group. - DagangNews.com






