Huawei FreeBuds Pro 3, fon putik ANC dibantu konduksi tulang untuk bunyi lebih jelas

Digital
6 Oct 2023 • 6:50 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Selain barisan jam pintar dan tablet, Huawei Malaysia turut melancarkan fon putik prestasi tinggi terbaru, Huawei FreeBuds Pro 3. Ia adalah fon putik kelas flagship dengan sistem akustik terunggul, menampilkan rekaan bergaya yang tahan lasak.

Harga dan Ketersediaan

Walaupun dilancar serentak dengan Huawei Watch GT 4 yang mula terima tempahan awal sekarang, fon putik Huawei FreeBuds Pro 3 masih belum boleh dibeli. Ia tersedia dijual di Malaysia mulai 21 Oktober 2023, dengan harga rasminya RM899.

image is not available

Fon putik ini boleh dibeli di semyua pengedar sah Huawei dan Kedai Jenama Huawei. Serta atas talian di Stor Online Huawei, serta di Lazada dan Shopee.

Spesifikasi Huawei FreeBuds Pro 3

Huawei menarik taraf generasi ketiga fon putik flagship mereka dengan hayat bateri lebih panjang, penyaring hingar aktif lebih baik dengan rupa kekal bergaya. Dwi-pemacu audio dinamik 11mm digunakan untuk menghasilkan bunyi berkualiti tinggi.

Dua pengiktirafan audio hi-res diterima oleh FreeBuds Pro 3, iaitu L2HC 2.0 dan LDAC. Ia mampu menghantar signal audio setinggi 990kbps untuk pengalaman mendagar yang mengasyikkan. Pelbagai teknologi AI yang mengesan tahap bunyi, bentuk cuping telinga dna status pemakaian, membantu menghasilkan bunyi terbaik untuk pengguna.

Untuk panggilan, tangkapan suara berkualiti tinggi melalui PureVoice 2.0 memastikan suara pengguna dapat didengar dengan jelas walaupun dalam suasana bising. Ia turut dibantu dengan teknologi ‘bone-conduction’ atau pengaliran bunyi melalu tulang, untuk bunyi lebih jelas.

Fungsi paling penting sudah pasti adalah penyaring hingar aktif, ANC. FreeBuds Pro 3 menggunapakai tiga-mikrofon bersama algoritma pintar ANC 3.0 untuk menghapuskan bunyi hingar sekeliling. Huawei turut menyediakan empat saiz tip untuk ditukar di putik bagi memberi pilihan kepada pengguna mengikut keselesaan mereka.

Bekas pengecas FreeBuds Pro 3 dibina tahan lasak, antaranya menggunakan kaca nano. Engselnya juga tersembunyi, dibina dengan ketahanan yang telah diuji buka tutup melebihi 100,000. Di fon putik pula, ia kalis percikan air dan debu IP54, jadi tidak perlu risau untuk digunakan waktu bersenam atau di bawah hujan.

Hayat bateri FreeBuds Pro 3 dipertingkat, mampu memberikan masa penggunaan sehingga 31 jam bersama bekas pengecas tanpa ANC. Di putik pula, ia boleh digunakan sehingga 6.5 jam tanpa ANC.

Pengguna tidak perlu risau telefon yang digunakan kerana FreeBuds Pro 3 serasi bersama peranti Windows, Android dan iOS, dihubungkan melalui Bluetooth. Ia juga menyokong dua sambungan peranti serentak menggunakan Bluetooth 5.3. Selain itu, lebih banyak kawalan disediakan dengan memasang aplikasi Huawei AI Life.

Untuk warna, Huawei menyediakan tiga pilihan antara putih, hijau dan perak. Maklumat lanjut tentang fon putik ini boleh diperoleh di laman produk Huawei FreeBuds Pro 3.

image is not available

Bacaan Berkaitan