HarmonyOS 6.0 ialah versi terkini sistem operasi Huawei yang digunakan bukan sahaja pada telefon pintar tetapi juga pad tablet, komputer riba, jam tangan, TV, peranti berhubung, kereta dan televisyen pintar keluaran mereka. Versi terkini sistem operasi ini telah diperlihatkan ketika acara Huawei Developer Conference yang berlangsung hujung minggu lalu.
Penambahbaikan dilakukan pada HMAF (HarmonyOS Multi-Agent Framework) yang membolehkan pelbagai agen kecerdasan buatan (AI) dijalankan terus pada peranti HarmonyOS 6.0. Menerusi integrasi agen ini, aplikasi terpasang pada peranti boleh diarahkan melakukan tugasan tertentu tapi pengguna melakukannya secara manual.

Kecerdasan buatan Celia juga ditambah baik di bawah payung Harmony Intelligence. Ciri seakan Google Circle to Search disokong dengan pembantu maya boleh memahami konteks imej pada skrin dan juga apa yang sedang dipandang menerusi kamera telefon pintar misalnya.

Akhir sekali terdapat ciri Touch and Share baharu yang membolehkan fail dihantar dari telefon ke komputer riba dengan hanya menyentuh skrin. Sebelum ini menerusi Huawei Share, telefon disentuh ke sensor khas yang terbina bersebelahan papan kekunci komputer riba. Dalam demo yang diperlihatkan, video daripada telefon dihantar terus ke dalam aplikasi CapCut dengan menyentuh skrin tanpa dimasukkan secara manual oleh pengguna.
Ciri ini turut boleh menghantar satu fail ke beberapa peranti lain secara serentak. Ini berbeza dengan sistem Apple AirDrop atau Google QuickShare yang menghantar fail ke beberapa peranti berdekatan secara satu persatu. HarmonyOS 6.0 versi beta kini boleh dimuat turun oleh pembangunan.
