Huawei telah melancarkan HarmonyOS Next secara rasmi hari ini dengan ia merupakan sistem operasi rekaan sendiri sepenuhnya tanpa menggunakan kernel Android. Walaupun HarmonyOS dilancarkan empat tahun lalu sebagai sistem operasi buatan sendiri, hakikatnya ia masih lagi berasaskan Android AOSP. Pelancaran HarmonyOS Next hari ini ialah permulaan sebenar HarmonyOS untuk memutuskan sebarang hubungan dengan Android.

HarmonyOS Next ialah sistem operasi sarwajagat yang digunakan pada telefon pintar, tablet, skrin pintar, peranti berhubung, jam tangan pintar dan kesemua ekosistem keluaran Huawei. Menerusi penggunan Ark Engine, HarmonyOS Next adalah sehingga 30% lebih lancar digunakan dan penggunaan bateri dapat ditingkatkan sehingga 1 jam berbanding menggunakan sistem operasi generasi sebelum ini.

Sistem operasi ini turut mempunyai beberapa ciri kecerdasan buatan (AI) terbina berasaskan model Pangu. Peranti boleh melakukan suntingan gambar, meringkaskan artikel, bantuan penulisan dan ciri seakan Circle to Search. Turut diberikan ialah ciri berkongsi fail dan maklumat peribadi dengan melalukan sentuhan pada bahagian atas dua peranti Huawei.

Pada waktu ini HarmonyOS Next hanya dilancarkan untuk peranti-peranti China dengan terdapat perancangan untuk menawarkannya ke pasaran lain. Setakat ini terdapat 10,000 aplikasi dan perkhidmatan yang menyokong HarmonyOS Next. Jumlah aplikasi yang tinggi adalah diperlukan kerana pemasangan aplikasi Android secara sisi seperti yang boleh dilakukan pada peranti dengan EMUI tidak lagi boleh dilakukan selepas ini.


