Steam Deck boleh dilihat sebagai salah satu konsol permainan PC arus perdana pertama yang hadir ke pasaran untuk dibeli. Apabila ia dilancarkan untuk pertama kalinya, ia menggunakan sistem operasi Steam OS tersendiri dan menggerakkan permainan-permainan yang dibeli pada platform gedung permainan komputer atas talian Steam.
Sejak itu, Valve telah memperkenalkan satu iterasi baru yang dinamakan Steam Deck OLED yang memperlihatkan pelbagai kemaskini baru dari segi penawaran paparan skrin OLED dengan kadar segar semula 90Hz, penawaran storan yang jauh lebih besar, dan juga bateri dengan kapasiti yang sedikit lebih tinggi berbanding yang asal.
Ramai yang tertanya-tanya samada Valve akan memperkenalkan Steam Deck 2, ataupun versi terbaru apabila AMD dijangka memperkenalkan cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 Extreme pada awal tahun hadapan.

Dalam satu temubual bersama-sama Reviews.org, yang mana mereka telah melaporkan bahawa Steam Deck asal dan Steam Deck OLED akhirnya dijual secara rasmi di Australia, pihak Valve juga nampaknya mengesahkan bahawa Steam Deck tidak akan menjadi sebuah peranti yang akan dikemaskini setiap tahun apabila syarikat-syarikat cip pemprosesan memperkenalkan komponen baru.
Menurut Steven Yang, pereka Steam Deck, beliau mengatakan bahawa walaupun AMD dan Intel dilihat hadir dengan komponen-komponen baru seperti Intel Lunar Lake, dan AMD Ryzen 300 AI, peningkatan dari segi prestasi tidak cukup memuaskan buat masa ini untuk menukar komponen cip pemprosesan dalam penawaran mereka sendiri.
Pendirian ini dilihat sama seperti Nintendo yang melancarkan konsol Nintendo Switch pada bulan Mac 2017, lebih tujuh tahun yang lalu, dan dimana hanya sekarang kita ketahui bahawa mereka akan memperkenalkan konsol baru sekitar tahun hadapan.

Steam Deck dilancarkan pada penghujung Februari 2022 menggunakan cip pemprosesan Van Gogh yang menggunakan cip AMD Ryzen Zen 2 dan RDNA 2, dan sejak tarikh tersebut, AMD telah melancarkan siri CPU yang menggunakan cip pemprosesan AMD Zen5, manakala cip pemprosesan grafik RDNA 4 akan diperkenalkan pada awal tahun hadapan.
Steam Deck nampaknya masih lagi menunggu untuk kemajuan dari segi prestasi dan kecekapan kuasa sebelum menaiktarafkan konsol sedia ada. Di Malaysia, Steam Deck boleh dibeli secara import, dan setakat ini ia masih belum ditawarkan secara rasmi, walaupun kita sudah boleh membeli konsol-konsol lain seperti ASUS ROG Ally X, Lenovo Legion Go dan juga MSI Claw.
