Huawei Malaysia Bekerjasama Dengan KPM Dan MMU Untuk Perkasa TVET-AI

LocalTechnology
19 May 2026 • 12:10 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Multimedia (MMU) dan Huawei Technologies Malaysia untuk melaksanakan program TVET–AI di Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Kerjasama ini bertujuan memperkukuh pendidikan teknikal dan vokasional dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dengan pelaksanaan awal di lima SBP terpilih sebelum diperluas ke sekolah lain.

Image from: Huawei Malaysia Bekerjasama Dengan KPM Dan MMU Untuk Perkasa TVET-AI

Lima SBP berkenaan ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Banting, Selangor, SM Sains Setiu, Terengganu, SM Sains Alor Gajah, Melaka, SM Sains Kuching, Sarawak dan SM Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, Pulau Pinang. Oleh itu, senarai sekolah ini memperlihatkan lokasi awal pelaksanaan program TVET–AI sebelum diperluas ke sekolah lain pada masa hadapan.

Dengan sokongan industri seperti Huawei, pelajar bukan sahaja menerima teori tetapi juga pendedahan praktikal yang relevan dengan keperluan sebenar pasaran kerja. Huawei Malaysia turut menyediakan sijil profesional Huawei Certified ICT Associate–Artificial Intelligence (HCIA–AI) yang diiktiraf antarabangsa, sekali gus menjadi nilai tambah kepada pelajar kerana membantu meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam bidang teknologi dan kecerdasan buatan.

Image from: Huawei Malaysia Bekerjasama Dengan KPM Dan MMU Untuk Perkasa TVET-AI

Di samping itu, ini juga boleh dianggap sebagai kesinambungan daripada kerjasama antara Kementerian Sumber Manusia dan Huawei sebelum ini yang bertujuan memperkasa TVET bagi memenuhi keperluan industri serta teknologi. Hal ini sekali gus membantu meningkatkan kualiti sektor latihan kemahiran di Malaysia dan mempercepatkan transformasi digital negara.

Selain itu, baru-baru ini Huawei telah membuka Huawei AI Lab & Innovation Centre di TRX, Kuala Lumpur yang berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan inovasi. Kerjasama ini boleh dilihat sebagai melengkapkan usaha mereka dalam menyediakan peluang praktikal yang lebih luas untuk pelajar dan tenaga pengajar khususnya dalam kalangan rakyat tempatan.