
Huawei Mate 90 turut dilancarkan hari ini dengan spesifikasi lebih rendah berbanding Mate 90 Pro dan Mate 90 Pro Max. Ia adalah model dengan skrin 6.75″ OLED LTPO 120Hz, keterangan puncak 12000 nits dan memaparkan warna P3. Ia dikuasakan oleh cip Kirin 9030, memori 12GB RAM, storan sehingga 1TB dan bateri 6600 mAh dengan pengecasan 66W berwayar dan 50W nirwayar.

Kamera utama terdiri daripada lensa 50MP RYYB dengan apertur boleh ubah f/1.4~4.0, lensa ultra lebar 40MP RYYB, dan lensa telefoto 50MP RYYB dengan zum optikal 4X. Sistem kamera utama ini menggunakan sistem XMAGE. Di hadapan pula kamera swafoto 13MP digunakan bersama dengan sensor 3D. Sensor 3D ini memberikan sokongan sistem imbasan wajah untuk menyahkunci peranti. Terdapat juga pengimbas cap jari sisi pada butang kuasa.

Peranti menggunakan HarmonyOS 7 yang terkini. Turut disertakan ialah sistem audio stereo, kemampuan kalis air serta debu IP69, NFC, Bluetooth 6.0, komunikasi satelit dan pemancar infra merah. Keseluruhan tubuh diperbuat daripada logam aluminium dengan panel belakang mempunyai kemasan bercorak.

Huawei Mate 90 dijual di China dalam pilihan warna Lattice Green, Lattice Pink, Zero Degree White, dan Obsidian Black dengan harga seperti di bawah.
Huawei Mate 90 (12/256GB) – RMB 5999 (~RM 3656)
Huawei Mate 90 (12/512GB) – RMB 6999 (~RM 4266)
Huawei Mate 90(12/1000GB) – RMB 8499 (~RM 5181)




