
Huawei telah melancarkan telefon lipat tiga terbaharu Mate XT 2 di China. Berbeza dengan model sebelumnya yang menggunakan lipatan berbentuk Z, Mate XT 2 hadir dengan konsep lipatan baharu yang melindungi skrin apabila tidak digunakan. Telefon ini juga ditawarkan dalam pilihan warna lebih menarik termasuk ungu gelap.


Peranti ini menggunakan skrin OLED 10.2 inci dengan resolusi 3K dan kadar segar semula 120Hz apabila dibuka. Ia turut dilengkapi dengan skrin penutup 6.5 inci di bahagian luar yang menjadikan telefon kelihatan seperti telefon biasa berbentuk bar apabila dilipat.
Skrin luar inimempunyai lubang berbentuk pil untuk kamera swafoto 8MP dan sistem imbasan wajah. Huawei juga menambah ciri skrin privasi yang membolehkan pengguna menggunakan telefon di tempat awam tanpa risau kandungan pada skrin dilihat orang lain.

Meskipun Mate XT 2 ini bersaiz besar ia masih berjaya mengekalkan reka bentuk nipis dan ringan. Bila dibuka penuh ketebalannya hanya 3.5 mm dengan berat 299g menjadikannya telefon lipat tiga paling ringan setakat ini. Huawei turut menambahbaik mekanisme engsel supaya telefon kelihatan lebih nipis dan memberikan pengalaman membuka serta menutup yang lebih lancar. Dari segi ketahanan, ia menyokong IP58 dan IP59 untuk perlindungan daripada habuk dan percikan air.

Mate XT 2 turut hadir dengan cip baharu Kirin 9050 Pro dengan padanan memori 16GB dan storan mencapai 1TB. Kamera utamanya ialah 50MP dengan sensor besar 1/1.28 inci yang menyokong aperture boleh ubah, OIS serta palet piksel RYYB untuk tangkapan cahaya lebih baik. Selain itu, ia dilengkapi dengan kamera sudut ultra-lebar 40MP dan periskop 50MP dengan zum optik 3.5x bagi gambar jarak jauh yang jelas. Kamera keempat pula ialah kamera khas dengan saluran pelbagai spektrum yang menghasilkan warna lebih terang dan kelihatan semula jadi dalam gambar.

Bateri disertakan sebesar 5600mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar 66W serta nirwayar 50W. Telefon ini menjalankan HarmonyOS 7 versi terkini yang membawa pelbagai ciri baharu. Antaranya ialah multitugas lebih lancar, penjanaan kandungan berkuasa AI serta pembantu Celia yang kini dikuasai oleh model AI pada peranti.

Harga jualan Huawei Mate XT 2 di China adalah seperti berikut:
- 256GB – RMB 19,999 (~RM 12,051)
- 512GB – RMB 21,999 (~RM 13,256)
- 1TB – RMB 23,999 (~RM 14,461)
- 1TB + dengan skrin Privasi – RMB 24,999 (~RM 15,064)




