
Huawei kini menjadualkan pelancaran sub-jenama baharu mereka, Osta secara rasminya di China, pada 20 November 2026. Ini sekaligus akan membuatkan Huawei lebih mempelbagaikan penawaran telefon pintar kepada pengguna, selepas Honor dijual oleh mereka ketika dilanda krisis halangan dagangan oleh Amerika Syarikat sekitar 6 tahun lepas.
Sejak dilanda krisis berkenaan, Huawei telah mula beroperasi secara kendiri, memfokuskan kepada pembangunan sistem operasi sendiri dan juga cip pemprosesan mereka sendiri. Kini, dengan pelbagai perkara dibawah mereka yang telah mula stabil, Huawei dilihat ingin menyasarkan untuk terus menerajui arena telefon pintar, dan turut hadir dengan penawaran Osta untuk membolehkan mereka bergerak pantas dalam memperluaskan pegangan pasaran.

Di China, Huawei sedia kembali memegang pasaran telefon pintar, mendahului Apple, Vivo, Oppo dan Xiaomi. Huawei juga dilihat ingin mengambil peluang sementara pelbagai pengeluar lain menghadapi masalah untuk mendapatkan cip dan juga masalah kenaikkan harga kos pengeluaran.
Dengan perkembangan ini, sama-sama kita nantikan pengenalan jenama Osta secara rasminya minggu hadapan, dan apakah antara bentuk pemasaran yang akan diambil Osta dalam memperluaskan pegangan pasaran mereka.


