Huawei Technologies meterai empat MoU perkukuh ekosistem digital negara

14/04/2025 - 14:32
Gambar/FB Huawei Malaysia Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 14 April - Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd memeterai empat Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa syarikat tempatan, dalam usaha memperkukuh ekosistem digital negara melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan kemudahan digital generasi baharu.
Kerjasama pertama dengan TOGL Technology Sdn Bhd, membolehkan Huawei Malaysia membangunkan platform e-dagang dan kesetiaan pelanggan berasaskan AI, menggabungkan kepakaran pasaran TOGL dengan teknologi AI canggih Huawei.
Dalam perkongsian kedua, Skyvast Cloud Sdn Bhd dan Huawei akan memperkenalkan kemudahan Awan AI Berdaulat (Sovereign AI Cloud) dengan menggunakan unit pemproses grafik Huawei Ascend, pelayan Kunpeng dan rumusan rangkaian.
Skyvast akan mengetuai strategi pembangunan pasaran bagi Malaysia dan ASEAN.
MoU ketiga menyaksikan perkongsian antara Huawei dengan Tiong Nam Logistics Solutions Sdn Bhd dalam sektor logistik.
Kedua-dua pihak akan menyepadukan teknologi AI dan awan dalam operasi rantaian bekalan dan gudang.
Huawei akan menyokong kemudahan awan dan keupayaan pengkomputeran AI, manakala Tiong Nam akan mengurus reka bentuk dan pelaksanaan rumusan logistik tersebut.
Untuk perkhidmatan digital kerajaan, satu MoU tiga pihak dimeterai antara HeiTech Padu Berhad, MY E.G. Services (MyEG) dan Huawei Malaysia yang akan meneroka penggunaan AI dalam sistem kerajaan, termasuk untuk fungsi imigresen dan pengangkutan.
Huawei akan menyediakan platform Huawei Cloud, kemudahan awan peribadi dan sokongan teknikal pelaksanaan projek.
Majlis pertukaran MoU itu disaksikan Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Gabenor Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Lan Tianli di Hotel Pullman, Kuala Lumpur City Centre.
Acara itu turut menyaksikan pertukaran MoU antara Universiti Elektronik Guilin dengan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) serta antara Universiti Guangxi Minzu dan Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar), dalam memperkukuh hubungan pendidikan tinggi antara Malaysia dan China.
Kerjasama berkenaan melibatkan bidang e-dagang, logistik, perkhidmatan kerajaan dan pembangunan kemudahan digital di seluruh negara. - DagangNews.com
standard

