Huawei Watch 5 telah dilancarkan secara global dengan sensor Huawei X-Tap di bahagian sisi untuk pemantauan kesihatan yang lebih canggih. Sensor ini menggabungkan fungsi ECG, PPG, dan tekanan untuk mengesan pelbagai parameter kesihatan hanya dengan satu jari.


Antara ciri utama jam tangan ialah Health Glance yang membolehkan pengguna membuat pemeriksaan kesihatan sepantas 60 saat. Dengan hanya meletakkan jari pada sensor berkenaan, pengguna boleh mendapatkan sehingga sembilan bacaan parameter kesihatan yang berbeza termasuk kadar denyutan jantung, tekanan, suhu kulit, ECG dan lain-lain. Selain itu, ia turut boleh memberikan amaran sekiranya terdapat sebarang bacaan tidak normal yang mungkin memerlukan pemeriksaan oleh pakar perubatan.


Watch 5 juga hadir dengan kawalan gerak isyarat baharu yang membolehkan pengguna mengetik dua kali menggunakan jari telunjuk untuk menavigasi dalam aplikasi tertentu. Fungsi ini boleh digunakan juga untuk senario harian seperti menerima panggilan, menetapkan penggera dan lain-lain. Ia juga boleh digunakan untuk menangkap gambar dari jauh, tetapi hanya berfungsi dengan peranti Huawei yang menggunakan sistem operasi EMUI.

Dari segi bateri, Watch 5 menyokong mod dwi-bateri yang terdiri daripada Standard Mode untuk kegunaan biasa. Sementara itu, Ultra-Long Battery Life Mode untuk ketahanan bateri yang lebih lama. Mod ini akan menyahaktifkan beberapa fungsi bagi tujuan penjimatan bateri tetapi masih mengekalkan ciri penjejakan kesihatan secara berterusan tanpa gangguan.

Dari segi rekaan, Watch 5 hadir dalam dua saiz iairu 46mm dengan skrin 1.43-inci dan 42mm dengan skrin 1.32-inci. Model 46mm pula menawarkan tiga varian dengan kerangka titanium gred angkasa, manakala satu lagi menggunakan kerangka keluli tahan karat. Model 42mm pula hanya ditawarkan dalam pilihan keluli tahan karat. Kesemuanya juga kalis air dengan penarafan 5ATM dan IP68.

Untuk bateri, model 46mm mampu bertahan sehingga 11 hari untuk penggunaan maksimum. 7 hari untuk penggunaan biasa, dan 4.5 hari dengan AOD. Model 42mm pula boleh bertahan sehingga 7 hari untuk penggunaa maksimum, 5 hari untuk penggunaan biasa, dan 3 hari dengan paparan sentiasa hidup.
Huawei Watch 5 telah disahkan akan tiba di Malaysia pada 22 Mei 2025, dengan pratempah kini dibuka dengan deposit sebanyak RM50. Pembelian awal ini turut menawarkan rebat sebanyak RM70 serta hadiah percuma yang bernilai sehingga RM746.


