Siri Huawei Watch Fit 4 Kini Rasmi Dengan ECG Dan Bateri 10 Hari

TechnologyDigital
16 May 2025 • 12:58 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Huawei telah melancarkan Watch Fit 4 dan Watch Fit 4 Pro secara global. Kedua-dua peranti ini hadir dengan ciri kesihatan yang lebih premium dan pintar, malah lebih dekat dengan siri GT5 sebelum ini, khususnya untuk model Pro.

Huawei Watch Fit 4 Pro dilengkapi dengan skrin AMOLED berukuran 1.82 inci dengan resolusi 480 × 408 piksel, ketumpatan 347 PPI, dan kecerahan maksimum 3,000 nits. Ia menggunakan bingkai dan bezel daripada aloi aluminium serta menawarkan pilihan tali jam daripada nilon atau fluoroelastomer.

image is not available
Huawei TruSense

Jam tangan ini turut mempunyai sensor ECG yang boleh diaktifkan melalui butang di bawah tombol berputar. Selain itu, ia didatangkan dengan ciri premium seperti mod menyelam, mod golf, serta ciri baharu untuk jejak larian (termasuk peta luar talian, navigasi penjejakan laluan) dan pemberitahuan sekiranya pengguna mengambil selekoh yang salah.

image is not available

Jam tangan ini dilengkapi dengan sistem Huawei TruSense, di samping menawarkan Menstrual Cycle Management dan Sleep Breathing Awareness. Ia juga menyokong satelit dwi-jalur untuk ketepatan kedudukan yang lebih baik, dengan sokongan kedua-dua satelit L1 dan L5. Hayat baterinya mampu bertahan sehingga 10 hari dengan beberapa ciri dimatikan, serta boleh dicas semula sepenuhnya dalam tempoh 60 minit.

Sementara itu, Huawei Watch Fit 4 merupakan peningkatan lebih menarik berbanding Fit 3. Ia dilengkapi dengan sensor tekanan baharu, serta sistem unik HUAWEI Sunflower. Skrinnya turut menggunakan panel AMOLED 1.82 inci dengan resolusi 480 × 408 piksel, ketumpatan 347 PPI, dan kecerahan maksimum 2,000 nits.

image is not available

Namun, berbeza dengan versi Pro, model ini tidak dilengkapi dengan Huawei TruSense. Bagaimanapun, ia masih menyokong Sleep Breathing Awareness dan satelit L1 dan L5 untuk pemantauan kedudukan yang lebih tepat. Baterinya mampu bertahan sehingga 10 hari dengan pengecasan penuh dalam tempoh 75 minit.

Huawei juga telah mengesahkan kehadiran peranti ini di Malaysia pada 22 Mei 2025, dan ia boleh dipratempah sekarang dengan deposit sebanyak RM50.