
PETALING JAYA: Prestasi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menjadi sandaran bagi meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka meskipun terdapat kawasan yang mempunyai jumlah pengundi bukan Melayu yang tinggi.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi wakil rakyat serta kerajaan negeri dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, rakyat Melaka dijangka membuat pilihan berdasarkan rekod perkhidmatan yang diberikan sepanjang tempoh pentadbiran.
Menurutnya, BN juga yakin mampu mengekalkan momentum kemenangan yang dicapai di Johor dan Negeri Sembilan (N9), termasuk berusaha menawan kawasan yang sebelum ini dianggap sukar untuk dimenangi.
“Dulu orang kata kita susah nak menang di Chennah, tetapi kita boleh menang. Jadi, saya percaya perkara yang sama boleh berlaku di Melaka.
“Saya percaya rakyat Melaka akan menilai berdasarkan prestasi wakil rakyat dan prestasi kerajaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata, BN optimis dapat mempertahankan pentadbiran negeri dengan mengutamakan perkhidmatan dan kepentingan rakyat sebagai asas utama menghadapi PRN berkenaan.
Ujarnya, kemenangan BN di kawasan yang sebelum ini dilihat sukar ditawan membuktikan bahawa sokongan rakyat boleh berubah berdasarkan prestasi dan khidmat yang diberikan wakil rakyat.
Jelas beliau, keyakinan itu turut didorong oleh rekod perkhidmatan wakil rakyat BN di kawasan masing-masing.
“Kalau kita bersama dan terus memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat, insya-Allah kita boleh menang.
“Kita yakin rakyat Melaka akan membuat pilihan yang terbaik dengan memilih Barisan Nasional,” katanya.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal berkata, BN kekal terbuka terhadap sebarang bentuk kerjasama politik bagi menghadapi PRN Melaka akan datang.
Ujarnya, perkara itu selaras dengan pendirian kepimpinan BN yang tidak menutup ruang untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.
“Seperti yang telah diperkatakan oleh pucuk pimpinan, kita terbuka untuk kerjasama.
“Kita harapkan momentum kemenangan BN dan perkhidmatan kepada rakyat yang ditunjukkan di Johor dan N9 dapat diteruskan di Melaka,” katanya. – UTUSAN
The post PRN Melaka: Prestasi wakil rakyat jadi sandaran kemenangan appeared first on Utusan Malaysia.






