
MELAKA: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh hanya menjadi sahabat ketika memerlukan sokongan, tetapi menjadi pesaing apabila tiba soal pembahagian kerusi pilihan raya.
Ketua Wanita PKR Kelantan, Mazalina Ibrahim berkata, persefahaman yang dicapai antara kedua-dua pihak perlu dihormati di semua peringkat supaya kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan benar-benar berjalan atas semangat setiakawan.
Beliau yang juga Ketua Keadilan Cabang Tumpat berkata, kerjasama politik bukan bermaksud sesebuah parti perlu mengorbankan prinsip, sebaliknya setiap pihak perlu saling menghormati dan mempertahankan persetujuan yang telah dicapai.
“Kerjasama tidak bermaksud kita perlu mengorbankan prinsip. Kerjasama bermaksud saling menghormati, saling membantu dan apabila kita membuat persetujuan, kita berdiri bersama mempertahankannya.
“Tetapi kalau di meja rundingan kita bersetuju, di bawah pula kita bergerak berbeza, maka saya ingin bertanya, di manakah semangat setiakawan?” katanya ketika membahaskan usul pada Kongres Nasional Tahunan Wanita Keadilan Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Mazalina berkata, teguran itu bukan ditujukan kepada BN semata-mata, sebaliknya kepada mana-mana pihak yang melihat kerjasama tersebut hanya sebagai peluang untuk menguntungkan parti sendiri.
Katanya, jika Kerajaan Perpaduan mahu terus kukuh, setiap pihak perlu menunjukkan komitmen yang sama terhadap persefahaman politik yang telah dipersetujui.
“Jangan ketika memerlukan sokongan politik kita dipanggil sahabat, tetapi ketika tiba masa pembahagian kerusi, kita pula dianggap pesaing. Ini mesti diperbetulkan,” katanya. – UTUSAN
The post PH-BN jangan bersahabat ketika mahu sokongan sahaja appeared first on Utusan Malaysia.






