Hubungan Jay Iswazir & Isteri Kembali Jernih, Belum Terfikir Cari Pengganti - “Dalam Tempoh Ini, Saya Banyak Belajar Apa Tanggungjawab Sebenar Sebagai Suami..."

10 Apr 2025 • 6:25 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Pelakon Jay Iswazir, 43, mengakui hubungan dengan bekas isteri, Fatimah Azzahra Ahmad sudah kembali jernih.
 

Hubungan kembali jernih

 


Menurut Jay atau nama sebenarnya, Ahmad Iswazir Ismail, dia memilih untuk berdamai demi menjaga keharmonian, selain tidak mahu kemelut yang berlaku berlanjutan.


 

“Raya tahun ini perbezaannya saya ‘single’, cuma saya sudah berbaik dengan Azzahra. Jadi, kami ambil pendekatan buang yang keruh, ambil yang jernih. 
 
“Tapi, perbezaannya tidaklah beraya berdua tahun ini. Selain itu, Alhamdulillah kami berada dalam situasi tetap menjaga silaturahim,” ujarnya.
 

Jay berkata demikian ketika ditemui pada sidang media teater Keluang Man di De Moccis Boutique Hotel, Kuala Lumpur pada Khamis.


Kekal positif

 


Dalam pada itu, mengulas mengenai keadaannya selepas bercerai, Jay berkata, dia berjaya menghadapinya dengan baik selepas mendapat sokongan dan nasihat positif daripada individu di sekeliling.


 

“Kesan kepada kesihatan mental itu pada saya semua orang akan melalui perkara sama, cuma bagaimana kita atasi. 
 
“Alhamdulillah Allah dekatkan saya dengan orang sekeliling yang kata-katanya membuatkan saya semangat. 

 


“Paling seronok bila jumpa mereka. Kadang-kadang ayat mereka banyak buatkan saya jadi positif. 


 


“Saya juga percaya ini juga ketentuan daripada Allah untuk menyedarkan saya bahawa dunia ini adalah tempat singgah untuk mencari bekal di sana,” katanya.


 

Belum terfikir cari pengganti

 


Ditanya sama ada sudah menemui pengganti, Jay bagaimanapun tidak mahu terlalu memikirkan tentang perkara itu.


 


Sebaliknya mahu lebih fokus memperbaiki diri menjadi insan lebih baik terlebih dahulu.


 

“Saya tak terfikir lagi untuk mencari pengganti sebab saya juga baru lagi melalui fasa perpisahan. Dalam tempoh ini juga saya banyak reflek diri. 
 
“Saya banyak berfikir kalau mahu suami, apa yang perlu saya persiapkan. Saya banyak belajar apa tanggungjawab sebenar sebagai suami dan apa tanggungjawab beri kasih sayang. 

 


“Perkara ini saya banyak belajar sekarang. Jadi, mengenai orang baharu itu, saya fikir adakah sudah bersedia,” jelasnya


 


Sebelum ini, Azzahra menerusi beberapa hantaran di media sosial mendakwa Jay melakukan keganasan terhadapnya ketika mereka masih bergelar suami isteri.


 


Hanya berdiam diri, Jay kemudiannya meminta satu permohonan maaf daripada Azzahra untuk mempertahankan dirinya.


 


Untuk rekod, Jay dan Azzahra mendirikan rumah tangga pada Mac 2022 namun perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian pada 28 Oktober tahun lalu.