
KUALA PILAH: Hubungan erat dan harmoni antara institusi Diraja, kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, penjawat awam, sektor swasta, para pemimpin masyarakat serta seluruh lapisan rakyat akan terus diperkukuh dalam usaha melaksanakan amanah pentadbiran Negeri Sembilan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, dalam melaksanakan amanah tersebut, beliau akan mengutamakan semangat muafakat dan kebersamaan, mendengar pandangan serta menerima teguran yang membina demi kepentingan jangka panjang negeri dan kesejahteraan generasi masa hadapan.
“Patik akan memimpin pentadbiran kerajaan negeri dengan mengutamakan prinsip amanah, integriti, kecekapan dan ketelusan.
“Patik akan memastikan jentera pentadbiran kerajaan negeri terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, profesionalisme dan rasa tanggungjawab.
“Amanah yang dipikul tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa bimbingan, nasihat, doa dan restu daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Ucapan Taat Setia Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu Juasseh berkata, kepercayaan dan mandat yang diberikan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 sebagai amanah besar.
Beliau berkata, kepercayaan rakyat bukan sekadar suatu penghormatan, sebaliknya satu tuntutan untuk membuktikan bahawa kerajaan yang diberikan mandat akan bekerja dengan bersungguh-sungguh.
Katanya, kerajaan juga akan memastikan tanggungjawab dilaksanakan secara adil, telus dan berkesan.
“Patik merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang telah menunaikan tanggungjawab demokrasi serta memberikan kepercayaan dan mandat kepada BN dan PN,” katanya. – UTUSAN
The post Hubungan kerajaan negeri, Persekutuan akan terus diperkukuh appeared first on Utusan Malaysia.





