
SEREMBAN - Senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan dimuktamadkan selepas perbincangan diadakan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mengesahkan perkara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, perbincangan tersebut adalah perlu, sebelum senarai berkenaan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Besar sejurus selesai majlis istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar pagi tadi.
“Saya telah memaklumkan kepada Tuanku bahawa saya akan berbincang terlebih dahulu dengan Presiden UMNO bagi mendapatkan pandangan beliau kerana terdapat beberapa cadangan yang perlu dipertimbangkan.
“Kita akan cuba menyelesaikannya selewat-lewatnya pada hari Jumaat. Jika ada ruang dan kesempatan, insya-Allah akan disegerakan. Tuanku juga berharap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya pada sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Mengulas mengenai kemungkinan wakil Perikatan Nasional (PN) menganggotai barisan Exco negeri, Ismail berkata pembentukan kerajaan negeri akan dibuat secara bersama, justeru semua pihak yang terlibat akan diberikan pertimbangan sewajarnya.
Jelas beliau, perkara itu turut melibatkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang berjaya memenangi kerusi pada pilihan raya lalu.
“Kita sedang membentuk sebuah kerajaan bersama. Sudah tentu kita akan mengambil kira Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PN, selain ADUN yang mewakili BN.
“BN bukan hanya terdiri daripada UMNO, malah turut dianggotai MCA dan MIC. Semua parti komponen akan diberikan perhatian dalam pembentukan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya.
Ditanya sama ada jumlah anggota Exco akan dikurangkan atau terdapat portfolio yang akan digugurkan, beliau berkata perkara itu masih belum diputuskan, termasuk sama ada jawatan Exco Kanan akan dikekalkan atau sebaliknya. - Getaran, 2 Ogos 2026





