
LUMUT – Hujan lebat selama dua jam awal pagi tadi menyebabkan sesetengah kawasan di Pulau Pangkor terjejas ekoran banjir.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Perak berkata, hujan lebat yang berhenti sekitar pukul 9 pagi tadi menyebabkan sembilan kawasan dinaiki air.
Katanya, kawasan tersebut ialah Kg. Sungai Pinang Besar, Kg. Masjid, Kg Teluk Kecil, Kg. Hussin, Teluk Gedung, Kg. Tengah, Rumah Murah, Taman Pangkor Mutiara dan Taman Sri Pangkor.
“Tiada pusat pemindahan sementera dibuka dan keadaan semasa menunjukkan cuaca beransur cerah.
“Paras air juga menunjukkan trend menurun kerana ia bukan air pasang besar. Pemantauan di lokasi masih lagi dibuat,” katanya di sini hari ini.
Kejadian banjir itu turut dikongsi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir menerusi hantarannya di Facebook dengan beliau menyatakan kawasan dinaiki air tersebut termasuklah di kampung halamannya sendiri.
“Allahuakbar, hujan lebat sejak awal pagi. Menerima berita beberapa kawasan di Pangkor dinaiki air, termasuk kawasan kampung saya sendiri.
“Insya-Allah, saya akan turun meninjau keadaan, bertemu penduduk yang terjejas dan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga telah memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa yang bersiap sedia untuk membantu penduduk terjejas. – KOSMO! ONLINE
The post Hujan lebat 2 jam, 9 kawasan di Pangkor banjir appeared first on Kosmo Online.






