Hujan lebat, banjir diramal di lima wilayah mulai hari ini

WorldEnvironment
18 Nov 2026 • 9:41 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Pelancong banjir

NARATHIWAT (THAILAND): Jabatan Meteorologi serta Pusat Pencegahan dan Mitigasi Bencana (PPMB) Wilayah Selatan memberi amaran kepada penduduk dan pelancong di Wilayah Songkhla, Satun, Narathiwat, Yala dan Pattani, supaya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir susulan ramalan hujan lebat berterusan mulai semalam hingga Ahad.

Pada masa sama, pihak berkuasa Wilayah Yala juga mengarahkan pengurusan Empangan Bang Lang di Daerah Bannang Sata melepaskan empat juta meter padu air setiap hari sebagai persediaan menghadapi peningkatan jumlah air dalam tempoh itu.

Jurucakap Stesen Meteorologi Narathiwat berkata, amaran hujan lebat hingga sangat lebat, banjir dan tanah runtuh dikeluarkan semalam, bagi membolehkan orang ramai membuat persediaan awal susulan musim tengkujuh sekarang.

“Jabatan Meteorologi mengeluarkan Amaran No. 1 dan 2 berkaitan hujan lebat hingga sangat lebat dijangka selama lima hari berturut-turut mulai hari ini hingga Ahad di 14 wilayah Selatan Thailand.

“Hujan lebat berterusan serta pelepasan air Empangan Bang Lang juga boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah di Wilayah Yala,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurutnya, sehingga kelmarin, empangan itu menampung 773.79 juta meter padu air, mewakili 53.2 peratus daripada kapasiti simpanan normal sebanyak 1,454 juta meter padu, meninggalkan baki kapasiti 680.57 juta meter padu atau 46 peratus.

Beliau berkata, pejabat gabenor di semua wilayah berkenaan juga sudah mengeluarkan arahan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

Jurucakap itu berkata, pihak berkuasa sedang memberi perhatian kepada Daerah Hat Yai yang merupakan bandar pelancongan utama dalam kalangan pelancong Malaysia.

“Tahun lalu, Hat Yai berdepan banjir besar bermula 19 November dan mencapai tahap paling kritikal pada 26 November hingga Kabinet Thailand mengisytiharkan bandar itu sebagai kawasan bencana. Selepas tarikh itu banjir mulai surut dan keadaan pulih seperti sedia kala menjelang 15 Disember,” katanya. – UTUSAN

The post Hujan lebat, banjir diramal di lima wilayah mulai hari ini appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved