KUALA LUMPUR – Hujan lebat yang melanda ibu negara petang Ahad menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air, sekali gus menjejaskan pergerakan pengguna jalan raya.
Situasi itu turut menjejaskan beberapa laluan utama apabila air bertakung di atas jalan raya sehingga memaksa pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan ketika melalui kawasan berkenaan.
Menerusi video dan gambar yang dikongsi di media sosial, sebuah bas serta beberapa kenderaan lain dilihat meredah laluan yang dinaiki air, manakala kenderaan yang diparkir di tepi jalan turut terjejas akibat banjir.
**media[3653582]**
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan ringkas memaklumkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian banjir di beberapa lokasi.
JBPM Kuala Lumpur turut memaklumkan laporan lanjut mengenai kejadian akan menyusul.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi makluman pada jam 5.29 petang melaporkan kejadian banjir kilat di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) arah barat dari Pandan Makmur menghala ke Pandan Indah.
**media[3653581]**
Situasi itu mengakibatkan lorong kiri dan tengah tidak dapat digunakan, manakala kenderaan hanya dibenarkan melalui lorong kanan sehingga mengakibatkan kesesakan di laluan terbabit.
Dalam makluman berasingan pada jam 5.44 petang, LLM turut melaporkan kejadian pokok tumbang di Kilometer 14.8 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan dari Damansara ke Subang.
Pokok tumbang itu menghalang lorong kecemasan dan sebahagian lorong kiri, namun keadaan trafik dilaporkan masih terkawal ketika hujan berterusan.
Pengguna jalan raya diingatkan supaya memandu dengan cermat serta mengambil langkah berjaga-jaga ketika berdepan keadaan jalan yang dinaiki air atau terhalang akibat pokok tumbang.

![[VIDEO] Banjir KL, Ampang: Tiga mangsa terkandas dalam kereta](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/banjir-ampang-jaya-1024x768.jpeg)




