Banjir kilat landa ibu negara, beberapa lokasi terjejas

LocalEnvironment
20 Sep 2026 • 9:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Banjir kilat landa ibu negara, beberapa lokasi terjejas

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, menerima beberapa panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir kilat yang melanda sekitar ibu negara dan kawasan berhampiran, hari ini.

Susulan laporan itu, PGO Kuala Lumpur menggerakkan pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Titiwangsa ke lokasi terjejas bagi menjalankan tindakan menyelamat dan pemantauan.

Menurut kenyataan PGO JBPM Kuala Lumpur, empat kejadian banjir kilat direkodkan setakat ini membabitkan kawasan di Ampang, Taman U-Thant dan Jalan Ampang.

“Insiden pertama dilaporkan berhampiran Tuscany Home Furnitures di Jalan Mengkudu, Ampang, melibatkan sebuah kenderaan terkandas dalam air sedalam 0.9 meter. Seorang mangsa yang berada di dalam kenderaan itu berjaya diselamatkan oleh enam anggota dari BBP Keramat.

“Kejadian kedua berlaku berhampiran Kondominium Desa Angkasa, Taman U-Thant, membabitkan sebuah kereta mewah jenis BMW yang terkandas dalam genangan air setinggi 0.6 meter. Dua mangsa di dalam kenderaan berkenaan berada dalam keadaan selamat selepas dibantu lima anggota BBP Jalan Tun Razak,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, BBP Keramat turut memberi bantuan kepada JBPM Selangor bagi kes ketiga di Jalan Kolam Air Lama C, Ukay Perdana Height, Ampang.

“Kejadian membabitkan sebuah kediaman yang dinaiki air, dengan penghuni melaporkan wujud risiko renjatan elektrik pada genangan air di kawasan tersebut.

“Bagi kes keempat di Menara Safuan, Jalan Ampang, lima anggota BBP Titiwangsa dikejarkan ke lokasi selepas menerima laporan kawasan tempat letak kenderaan dinaiki air. Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa,” menurut kenyataan itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved