
PETALING JAYA – Sukarelawan pemadam kebakaran hutan dan tanah melakukan sujud syukur ketika hujan lebat membasahi beberapa kawasan di Kalimantan Selatan, Indonesia petang semalam.
Lebih menyentuh hati, ada antara mereka yang masih memegang hos pemadam ketika bersujud bersama selepas kira-kira empat bulan bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di kawasan berkenaan.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @diarialma, beberapa sukarelawan dilihat bersujud di atas jalan yang basah ketika hujan turun, mencerminkan rasa syukur mereka terhadap rahmat yang dinantikan.
Rakaman itu menyentuh hati netizen yang menyifatkan hujan berkenaan sebagai satu rahmat besar, khususnya buat kawasan yang terjejas akibat kebakaran.
Malah, rakyat Malaysia turut meluahkan rasa gembira melihat perkembangan itu selain berharap hujan berkenaan dapat membantu memadamkan kebakaran dan memulihkan keadaan di Kalimantan Selatan.
“Memang hanya terlihat seperti hujan biasa, tapi bagi daerah yang menjadi korban keganasan api itu adalah sebuah berkah yang sangat besar,” kata seorang pengguna.
“Kami sebagai rakyat Malaysia tumpang bahagia juga untuk kalian. Hujan rahmat ini turun bukan untuk kebaikan Indonesia sahaja tetapi juga untuk negara-negara yang hidup sebagai jiran.
“Saya berdoa agar kita mendapat pemimpin yang lebih adil dan berwibawa di Asia Tenggara supaya kita dapat hidup sebagai saudara yang saling mengambil berat,” komen iviamee.
Sementara itu, seorang pengguna berharap hujan lebat itu dapat membasahi kawasan gambut hingga ke bahagian paling dalam bagi membantu memadamkan kebakaran.
“Aku berdoa supaya hujan di Kalimantan ini membawa berkah, memadamkan api dan memulihkan keadaan Kalimantan. Amin,” tulisnya.
Dalam pada itu, terdapat juga netizen yang berharap kejadian kebakaran berkenaan menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar. – KOSMO! ONLINE
The post Hujan lebat di Kalimantan Selatan, anggota sukarelawan sujud syukur appeared first on Kosmo Online.



