
JAKARTA – Penantian hampir lima bulan penduduk di Kalimantan Selatan untuk melihat titisan air hujan berakhir semalam apabila beberapa kawasan di wilayah itu menyaksikan hujan lebat serta angin kencang, lapor laman berita Kumparan.
Di Daerah Banjar, penduduk meluahkan rasa gembira tidak terhingga sehingga ada yang melakukan sujud syukur di bawah limpahan air hujan.
Kegembiraan itu bukan tanpa sebab, memandangkan Kalimantan Selatan berdepan situasi genting apabila diselubungi jerebu tebal akibat kebakaran hutan dan tanah yang berlarutan sejak hampir lima bulan lalu.
Seorang penduduk dikenali sebagai Ronny Latar berkata, kehadiran hujan tersebut amat dinantikan dan membawa kelegaan besar kepada masyarakat setempat.
Menurutnya, hujan lebat itu dijangka dapat melenyapkan kepulan jerebu pekat yang sekian lama menjejaskan aktiviti harian serta mengancam kesihatan penduduk.
Hujan rahmat yang turun petang semalam dianggap penduduk sebagai memberi sinar harapan baharu bahawa episod jerebu sampai ke penghujungnya.
Selain menyingkirkan asap tebal, penduduk berharap cuaca basah itu mampu menamatkan krisis kemarau panjang serta memenuhkan semula telaga-telaga kampung yang kontang. – AGENSI
The post Penduduk Kalimantan sujud syukur, hujan turun selepas hampir 5 bulan appeared first on Kosmo Online.



