Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Turunnya hujan lebat di Kota Banjarbaru, Kalimantan Selatan baru-baru ini bukan sekadar meredakan cuaca panas terik, malah membawa 1001 erti buat pasukan barisan hadapan yang selama ini berhempas-pulas menentang musibah kebakaran hutan dan lahan (karhutla).
Menerusi video yang tular di media sosial, kelihatan anggota relawan pemadam kebakaran (damkar) meluahkan rasa syukur yang tak terhingga apabila rintik hujan akhirnya membasahi bumi. Ada yang menari kegembiraan sebelum terus meluru dan melutut melakukan sujud syukur beramai-ramai di atas jalan tar yang basah.
Artikel berkaitan: “Sakit benar dada aku” – Kata-Kata Terakhir Sukarelawan Pemadam Api ‘Bapak Nurdin’ Sebelum Pergi
Artikel berkaitan: Dikecam Kerana Berada Di Singapura Ketika Jerebu, Gabenor Kalimantan Timur Rupanya...
Namun, di sebalik gelagat gembira itu, satu kapsyen yang dikongsikan bersama video berkenaan benar-benar meruntun jiwa warganet.
“Terima kasih relawan damkar dan semua yang terlibat… hari ini Kalsel (Kalimantan Selatan) hujan, kalian berhak melepas penat kalian, dan untuk beberapa relawan yang telah berpulang di karhutla 2026,” tulis kapsyen video tersebut.
Kata-kata itu amat menyentuh hati kerana ia menjadi igauan dan ingatan kepada pengorbanan besar wira-wira yang gugur sewaktu menjalankan tugas berat memadamkan kebakaran sebelum ini.
Dalam pada itu, sebelum kehadiran hujan tersebut, majlis doa bersama sempena Hari Santri turut diadakan di Pondok Pesantren Al Falah, Banjarbaru, yang dihadiri pelbagai pihak termasuk Menteri Koordinator Bidang Pemberdayaan Masyarakat, Abdul Muhaimin Iskandar (Cak Imin). Doa dipanjatkan agar negeri itu diberikan dijauhkan daripada musibah.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa sebak dan menitipkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas pengorbanan tanpa kenal erti penat lelah oleh pasukan relawan damkar.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.





