
KUALA LUMPUR, 13 NOV: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di kebanyakan negeri di Semenanjung mulai 15 hingga 17 November ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata perkara itu berdasarkan analisis terhadap model-model ramalan cuaca terkini yang menunjukkan penumpuan angin dijangka berlaku dalam tempoh berkenaan.
“Keadaan ini berpotensi membawa ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang lebih panjang di kebanyakan negeri di Semenanjung,” katanya menerusi kenyataan di Facebook MetMalaysia.
Sehubungan dengan itu, Mohd Hisham berkata orang awam dinasihatkan agar sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan media sosial rasmi jabatan itu serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lima negeri hingga 11 malam ini.
Negeri yang terlibat ialah Johor (Kota Tinggi dan Kluang), manakala di Perak bagi kawasan Hulu Perak dan Kuala Kangsar.
Amaran sama turut dikeluarkan di Kedah melibatkan Padang Terap, Sik dan Baling, manakala di Terengganu bagi kawasan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Besut.
Sementara itu, di Sarawak, kawasan yang terjejas ialah Kapit, Bintulu, Mukah (Mukah), Sibu, Sarikei, Betong (Kabong dan Saratok) serta Miri (Subis, Miri dan Beluru).
-- BERNAMA





