PRN Melaka: Ramalan Ribut Petir, Pengundi Disaran Keluar Awal Tunai Tanggungjawab 

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 2:57 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PRN Melaka: Ramalan Ribut Petir, Pengundi Disaran Keluar Awal Tunai Tanggungjawab 

MELAKA - Pengundi di negeri ini disaran hadir ke pusat mengundi lebih awal esok bagi mengelakkan kemungkinan berdepan cuaca buruk, susulan ramalan ribut petir pada sebelah petang.

Saranan itu dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyasarkan kadar keluar mengundi sebanyak 70 peratus bagi pilihan raya negeri (PRN) berkenaan.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, pihaknya berharap seramai mungkin pengundi berdaftar dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih wakil rakyat mereka.

Menurutnya, sasaran itu dilihat munasabah dan diharapkan dapat dicapai memandangkan pilihan raya kali ini membabitkan pilihan raya negeri, bukannya pilihan raya kecil.

“Kita berharap kadar keluar mengundi dapat mencapai 70 peratus, lebih-lebih lagi kerana ini pilihan raya negeri dan bukannya pilihan raya kecil. 

"Kita berharap pengundi berminat untuk keluar mengundi dan seramai mungkin dapat berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pengesahan peti undi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Politeknik Merlimau, hari ini.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir pada sebelah petang, justeru pengundi dinasihatkan merancang perjalanan dan hadir ke pusat mengundi lebih awal.

Sementara itu, mengenai pengumuman keputusan pilihan raya, beliau berkata SPR menjangkakan keputusan penuh dapat diketahui sebelum tengah malam, bergantung kepada ketibaan peti undi di pusat penjumlahan rasmi serta keadaan cuaca pada hari pengundian.

Katanya, SPR perlu menunggu semua peti undi tiba di pusat berkenaan sebelum proses pengiraan dan penjumlahan undi dapat diselesaikan, selain mengambil kira kemungkinan berlaku gangguan seperti hujan lebat atau banjir.

"Dari segi perundangan, kita perlu menunggu peti undi tiba di pusat pengumpulan. Pelbagai perkara boleh berlaku sepanjang proses itu, termasuk hujan atau banjir yang sukar dijangka.

“Bagaimanapun, secara umumnya kita menjangkakan keputusan tidak akan diumumkan terlalu lewat dan dapat diketahui sebelum tengah malam,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan semua calon, jentera parti dan penyokong supaya menghentikan segala bentuk aktiviti berkempen, termasuk menerusi platform dalam talian, selewat-lewatnya jam 11.59 malam ini selaras dengan peraturan pilihan raya. - Getaran, 13 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved