Hujan Lebat Landa Tengah Jepun, Beberapa Kawasan Dilanda Banjir Dan Tanah Runtuh

WorldEnvironment
27 Aug 2026 • 4:38 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Hujan Lebat Landa Tengah Jepun, Beberapa Kawasan Dilanda Banjir Dan Tanah Runtuh

Hujan lebat melanda beberapa kawasan di tengah Jepun pada Khamis, menyebabkan banjir dan tanah runtuh di beberapa lokasi, selain beberapa kenderaan dilaporkan ditenggelami air serta panggilan mendapatkan bantuan kecemasan dibuat.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran khas hujan lebat bagi beberapa kawasan di wilayah Ishikawa dan Toyama, dengan penduduk dinasihatkan berpindah atau segera mengambil langkah keselamatan susulan keadaan yang boleh mengancam nyawa.

Amaran Tahap Lima

Amaran hujan lebat Tahap Lima, iaitu tahap tertinggi yang menunjukkan bencana berkemungkinan telah berlaku atau bakal berlaku, dikeluarkan bagi beberapa kawasan perbandaran termasuk Himi di wilayah Toyama serta Hakui, Shika, Hodatsushimizu dan Nakanoto di Ishikawa.

Kira-kira 180,000 penduduk di lima kawasan perbandaran di kedua-dua wilayah itu diminta mengambil langkah keselamatan dan mematuhi arahan pemindahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Penduduk turut digesa supaya terus berwaspada terhadap risiko tanah runtuh.

Baca juga:

Sungai Melimpah, Kereta Ditenggelami Air

Di Himi, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang merupakan anggota pasukan bomba tempatan memberitahu Kyodo News menerusi telefon bahawa sebuah sungai telah melimpah dan beberapa kereta ditenggelami air.

Kerajaan wilayah Ishikawa berkata setakat ini tiada laporan mengenai kematian atau kecederaan akibat kejadian berkenaan.

Dalam tempoh 12 jam sehingga 7.20 pagi, Himi dan Hakui menerima hujan melebihi 300 milimeter, manakala Hodatsushimizu merekodkan lebih 200 milimeter.

Jumlah berkenaan mencatat rekod baharu bagi ketiga-tiga kawasan tersebut.

Hujan Lebat Dijangka Berterusan

Menurut JMA, sistem hadapan cuaca memanjang ke arah timur dari Laut Jepun merentasi utara dan timur Jepun dan dijangka bergerak ke selatan sehingga Jumaat.

Keadaan atmosfera dijangka menjadi sangat tidak stabil berikutan kehadiran jisim udara sejuk dan lurah tekanan rendah.

Dalam tempoh 24 jam sehingga tengah hari Jumaat, JMA menjangkakan sehingga 200 milimeter hujan di wilayah Hokuriku dan sehingga 150 milimeter di kawasan Kanto-Koshin serta Tokai.

Hujan lebat turut melanda wilayah Niigata yang bersempadan dengan Toyama.

Banjir Di Chiba Awal Bulan Ini

Awal bulan ini, amaran hujan lebat Tahap Lima turut dikeluarkan di beberapa kawasan perbandaran di wilayah Chiba, berhampiran Tokyo, susulan hujan lebat yang menyebabkan banjir.

Kejadian berkenaan mengorbankan 13 nyawa, manakala kira-kira 2,500 kenderaan dilaporkan terkandas atau ditinggalkan di jalan raya selepas dinaiki air.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved