
Laluan pendakian menuju ke kem pangkalan Gunung Annapurna I di Narchyang, Annapurna Rural Municipality-4, daerah Myagdi, Nepal dibuka semula selepas tanah runtuh akibat hujan lebat sebelum ini berjaya dibersihkan.
Laluan dikenali sebagai Maurice Herzog Trail yang bermula di Humkhola itu kembali beroperasi selepas laluan Narchyang-Humkhola turut dibuka semula untuk kenderaan.
Pembukaan semula laluan berkenaan menyaksikan jumlah pelancong tempatan yang menuju ke kem pangkalan Gunung Annapurna I setinggi 8,091 meter mula meningkat.
Sebelum ini, laluan Narchyang-Humkhola terputus di beberapa lokasi akibat tanah runtuh sehingga menjejaskan pergerakan kenderaan.
Usahawan pelancongan tempatan dan penggerak Maurice Herzog Trail, Tej Gurung berkata, laluan itu dibuka semula selepas projek hidroelektrik yang beroperasi di kawasan berkenaan membantu membersihkan tanah runtuh di sepanjang jalan dari Kampung Besi di Narchyang ke Humkhola.
Menurutnya, pelawat perlu menaiki kenderaan sejauh 21 kilometer dari Kampung Besi ke Humkhola sebelum memulakan pendakian menuju ke Kem Pangkalan Annapurna.
“Ketika musim monsun, banjir dan tanah runtuh telah merosakkan beberapa bahagian jalan.
“Bagaimanapun, dengan bantuan projek hidroelektrik yang beroperasi di sini, tanah runtuh berjaya dibersihkan dan jalan dibaiki, sekali gus membolehkan laluan pendakian dibuka semula,” katanya.
Gurung berkata, pelancong mula kembali ke kem pangkalan itu susulan pembukaan semula laluan berkenaan, dengan pendaki tempatan mula tiba sejak pertengahan Ogos.
Katanya, pembukaan semula laluan itu turut memberi nafas baharu kepada aktiviti pelancongan apabila hotel dan restoran yang sebelum ini ditutup di beberapa lokasi sepanjang trek mula kembali beroperasi.
Menurutnya, musim monsun juga mempunyai tarikan tersendiri kerana air terjun di sepanjang laluan kelihatan lebih menarik ketika musim hujan.
Bagi memudahkan perjalanan pelancong, beberapa struktur sementara turut dibina di antara Humkhola dan kem pangkalan.
Kedai menjual teh dan makanan ringan, selain hotel yang menyediakan makanan serta penginapan, turut beroperasi di sepanjang laluan.
Jelasnya, tempat perlindungan telah dibina di Sandhikharka, Bhusket Mela dan kawasan sekitar Tasik Panchakunda.
Kemudahan pelancong seperti bekalan air minuman dan tandas turut disediakan di Humkhola, Air Terjun Futphute, Guphaphant, Bhusket dan Panchakunda, manakala pihak Annapurna Rural Municipality telah menaik taraf laluan berkenaan.
Kawasan kem pangkalan itu boleh diakses dengan perjalanan sejauh 22 kilometer menggunakan kenderaan dari Pokharebagar ke Humkhola, sebelum pelawat meneruskan perjalanan dengan pendakian sejauh kira-kira 21 kilometer.
Kawasan itu semakin mendapat perhatian sebagai destinasi pelancongan berikutan tarikan alam semula jadinya, termasuk Air Terjun Futphute, Tasik Panchakunda berhampiran kem pangkalan serta pemandangan pergunungan.
Dari September hingga November, kawasan berkenaan menerima kehadiran ramai pelancong tempatan.
Gunung Annapurna I pertama kali berjaya didaki pada 3 Jun 1950 oleh pasukan empat pendaki yang diketuai pendaki Perancis, Maurice Herzog.
Pasukan itu turut disertai Louis Lachenal serta dua Sherpa Nepal, sekali gus menandakan permulaan era ekspedisi pendakian gunung di Himalaya.
Baca juga:Bagi memperingati sejarah tersebut, patung Maurice Herzog dan Louis Lachenal, bersama anggota sokongan Nepal, Sonam Wangchuk Sherpa, telah didirikan di kawasan kem pangkalan.
Sebuah muzium terbuka turut dibangunkan di lokasi berkenaan.
Laluan pendakian itu dinamakan Maurice Herzog Trail sempena pendaki pertama Gunung Annapurna I, Maurice Herzog.






