Hulu Selangor dipilih lokasi dua pelaburan baharu bernilai lebih RM1.6 bilion

LocalBusiness & Finance
4 Jul 2026 • 11:21 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Hulu Selangor dipilih lokasi dua pelaburan baharu bernilai lebih RM1.6 bilion

SHAH ALAM, 4 JULAI: Hulu Selangor bakal menerima pelaburan baharu berjumlah lebih RM1.6 bilion menerusi dua projek berimpak tinggi yang dijangka memperkukuh pembangunan ekonomi daerah itu.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata pelaburan tersebut membabitkan pembinaan kilang kedua luar negara milik pengeluar tayar China, Wanli Tire serta projek pembuatan bahan untuk bateri litium oleh XTC New Energy.

“Saya baru-baru ini mengetuai delegasi ke Guangzhou untuk mengadakan pertemuan dengan Wanli Tire, antara pengeluar tayar utama China. Wanli Tire merancang membina kilang kedua luar negaranya di Selangor.

"Bersama projek bahan bateri litium oleh XTC New Energy, kedua-dua pelaburan ini dianggarkan bernilai kira-kira RM1.6 bilion dan akan dilaksanakan di Hulu Selangor,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Image from: Hulu Selangor dipilih lokasi dua pelaburan baharu bernilai lebih RM1.6 bilion
EXCO Pelaburan, Ng Sze Han ketika mengadakan pertemuan dengan pengurusan Wanli Tire di Guangzhou bagi membincangkan pelaburan syarikat itu di Selangor. Foto Facebook Ng Sze Han

Beliau berkata kilang Wanli Tire melibatkan pelaburan kira-kira RM1.37 bilion dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 6.2 juta tayar.

Menurutnya, projek itu dijangka mewujudkan 1,350 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, merangkumi bukan sahaja jawatan di barisan pengeluaran, malah pekerjaan berkemahiran tinggi seperti jurutera, pakar kawalan kualiti dan pengurusan.

“Anak muda di Hulu Selangor kini mempunyai laluan kerjaya yang lebih jelas bersama sebuah pengeluar bertaraf antarabangsa, tanpa perlu meninggalkan daerah sendiri.

"Selain itu, XTC New Energy merancang melabur kira-kira RM260 juta bagi menghasilkan bahan katod untuk bateri litium, sekali gus memperkukuh rantaian nilai industri tenaga baharu di Selangor,” katanya.

Image from: Hulu Selangor dipilih lokasi dua pelaburan baharu bernilai lebih RM1.6 bilion
EXCO Pelaburan Ng Sze Han meneliti produk tayar keluaran Wanli Tire semasa lawatan kerja ke Guangzhou, China baru-baru ini. Foto Facebook Ng Sze Han

Sze Han berkata pembangunan ekonomi negeri tidak seharusnya hanya tertumpu di Lembah Klang, sebaliknya perlu diperluaskan ke kawasan luar bandar supaya manfaat pertumbuhan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.

“Dengan membawa industri pembuatan bertaraf dunia ke Hulu Selangor, kita memastikan setiap kawasan di negeri ini turut berkongsi manfaat pembangunan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved