KEDUDUKAN strategik Johor bersempadan dengan Singapura selain kekuatan dalam sektor pembuatan, logistik dan perdagangan menunjukkan negeri itu mempunyai potensi besar untuk menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan ekonomi.
Menyedari situasi itu, kerajaan Persekutuan menyalurkan kira-kira RM16 bilion kepada Johor melalui projek pembangunan, peruntukan mengurus dan pelbagai program dalam tempoh 2023 hingga 2025.
Peruntukan berkenaan membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan pembangunan Johor terus diperkasakan.
Antara projek yang menjadi pemangkin termasuklah pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), Johor Bahru-Singapore Rapid Transit System (RTS) Link, pembinaan dan penaiktarafan hospital termasuk Hospital Sultanah Aminah 2, projek tebatan banjir serta penambahbaikan bekalan air.
Oleh itu, komitmen kerajaan pusat pada hari ini wajar dipuji kerana pelaburan dalam infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan kemudahan awam bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup rakyat, malah mengukuhkan daya saing Johor sebagai destinasi pelaburan dan hab ekonomi serantau.
Namun begitu, kejayaan sebenar peruntukan terbabit sangat bergantung kepada keberkesanan pelaksanaannya di peringkat akar umbi.
Aspek kecekapan pengurusan projek, ketelusan dalam perbelanjaan dan pemantauan berterusan perlu diberi perhatian bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi pulangan maksimum.
Jika dilaksanakan dengan baik, peruntukan RM16 bilion itu bukan sahaja mempercepatkan pembangunan Johor, malah mengukuhkan lagi kedudukan negeri tersebut sebagai antara pemacu utama ekonomi negara dalam jangka panjang.
**media[3569627]**
Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, peruntukan sekitar RM16 bilion kepada Johor merupakan suntikan fiskal yang signifikan.
Jelasnya, ini kerana ia bukan sekadar meningkatkan perbelanjaan kerajaan negeri, malah berfungsi sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri Johor.
“Pada peringkat awal, projek pembangunan akan mewujudkan permintaan terhadap tenaga kerja, bahan binaan, perkhidmatan kejuruteraan dan kontraktor tempatan. Ini secara langsung meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan isi rumah.
“Apabila pendapatan rakyat meningkat, perbelanjaan pengguna turut bertambah seterusnya merangsang aktiviti perniagaan seperti sektor peruncitan, makanan dan minuman, pengangkutan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Dalam jangka panjang, infrastruktur lebih baik akan tingkatkan produktiviti syarikat dan menarik lebih banyak aktiviti ekonomi baharu dan menghasilkan pertumbuhan berterusan,” jelasnya kepada Sinar Harian.
Tambah beliau, namun begitu, kesan pengganda yang optimum hanya akan berlaku sekiranya projek dilaksanakan mengikut jadual, melibatkan penyertaan syarikat tempatan dan mempunyai hubungan kukuh dengan rantaian bekalan domestik.
Beliau memberitahu, peruntukan besar tidak semestinya menghasilkan manfaat ekonomi sekiranya projek mengalami kelewatan, kos meningkat, berlaku ketirisan atau gagal memenuhi keperluan rakyat dan industri.
**media[3569633]**
“Sebaliknya, projek yang dirancang dengan teliti, dilaksanakan mengikut jadual serta dipantau secara berkesan mampu menghasilkan pulangan ekonomi yang lebih tinggi walaupun dengan peruntukan yang lebih kecil.
“Oleh itu, aspek tadbir urus, ketelusan, akauntabiliti dan pemantauan prestasi perlu diberikan keutamaan. Akhirnya, kejayaan sesuatu peruntukan bukan diukur berdasarkan berapa banyak wang yang dibelanjakan, tetapi sejauh mana ia meningkatkan produktiviti ekonomi dan mewujudkan pertumbuhan yang mampan untuk jangka panjang,” ulasnya.
Sementara itu, Pakar ekonomi, Profesor Madya Dr Mustazar Mansur turut mengakui pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi oleh kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar memenuhi keperluan pembangunan fizikal, sebaliknya berpotensi mengubah landskap ekonomi Johor dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Jelasnya, pembangunan itu bukan sahaja berupaya menarik lebih banyak pelaburan asing, malah mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan aktiviti perniagaan dan mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab ekonomi utama di rantau Asia Tenggara.
Mustazar berkata, JS-SEZ menjadi pemangkin utama kerana konsepnya mengambil pendekatan kawasan pelaburan asing bebas cukai seperti dilaksanakan di China dan Hong Kong, sekali gus memanfaatkan kelebihan Singapura sebagai pusat kewangan dan logistik bertaraf dunia.
“Singapura mempunyai infrastruktur yang canggih dalam sektor perkapalan dan perkhidmatan kewangan. Justeru, kita mengambil peluang menarik pelaburan dengan menawarkan kawasan bebas cukai yang bersempadan dengan Singapura,” kongsinya.
Tambah beliau, RTS Link pula bukan sekadar projek pengangkutan awam, malah menjadi penghubung strategik yang meningkatkan kecekapan logistik serta mobiliti tenaga kerja antara Johor Bahru dan Singapura.
“Johor juga akan terima limpahan kuasa beli daripada Singapura dengan adanya fasiliti pelancongan bertaraf antarabangsa yang masih mempunyai kapasiti untuk diperkembangkan.
“Kedua-dua negara akan memperoleh manfaat daripada peluang pekerjaan, aktiviti perniagaan, urusan jual beli serta peningkatan kuasa beli pengguna dalam ekonomi domestik masing-masing,” katanya.
Selain menarik pelaburan, projek-projek strategik itu juga dijangka memberi limpahan besar kepada PKS.
Jelas beliau, apabila syarikat bertaraf dunia memilih Johor sebagai lokasi pelaburan, vendor tempatan akan menjadi sebahagian daripada rantaian huluan dan hiliran bagi membekalkan barangan serta perkhidmatan kepada industri tersebut.
Mustazar menambah, pembangunan industri petrokimia di Pengerang menjadi contoh bagaimana PKS tempatan mampu berkembang apabila wujud pelaburan berskala besar.
**media[3569634]**
Dalam pada itu, beliau berpandangan pembangunan Johor tidak akan menenggelamkan peranan Lembah Klang atau Pulau Pinang, sebaliknya melengkapkan jaringan pusat pertumbuhan ekonomi negara.
“Jurang pembangunan antara wilayah dapat dikurangkan dan sekiranya jaringan seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dimanfaatkan sepenuhnya, limpahan ekonomi akan diperluaskan ke kawasan yang masih kurang membangun.
“Akhirnya lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat pembangunan wilayah melibatkan Pulau Pinang, Lembah Klang, Johor serta Pahang,” katanya.
Tegasnya, kejayaan semua projek strategik tersebut akhirnya bergantung kepada kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan pembangunan infrastruktur, kemudahan awam, pelaburan serta dasar ekonomi dapat bergerak secara seiring.
Ekonomi Johor berkembang lapan peratus, tertinggi di Malaysia
Ledakan pelaburan pusat data dan pelaksanaan pelbagai projek strategik telah memperkukuh momentum ekonomi Johor apabila negeri itu merekodkan pertumbuhan 8.0 peratus pada 2025, tertinggi di Malaysia.
**media[3569641]**
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), prestasi itu didorong oleh pertumbuhan kukuh sektor ICT, pembinaan, perkhidmatan dan pembuatan yang terus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai antara pemacu utama ekonomi negara.
Menurut DOSM, pertumbuhan ekonomi tertinggi itu menyaksikan nilai ekonomi Johor meningkat kepada RM171 bilion pada 2025, sekali gus menyumbang hampir 10 peratus kepada keseluruhan ekonomi negara.
Lonjakan dalam beberapa sektor mencerminkan perkembangan pesat infrastruktur digital susulan pertumbuhan industri pusat data, di samping pengukuhan aktiviti logistik yang terus menjadi antara pemangkin ekonomi Johor.
Prestasi Johor turut menggambarkan permintaan yang terus meningkat terhadap komponen elektronik, peralatan elektrik dan penyelesaian digital berteknologi tinggi, selari dengan perkembangan industri teknologi di negeri berkenaan.
DOSM berkata, pertumbuhan pesat sektor pembangunan pula itu didorong peningkatan aktiviti pembinaan bangunan bukan kediaman, khususnya kemudahan pusat data yang terus memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab ekonomi digital negara.




