
KUALA SELANGOR: Sesi petang persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2, Bandar Puncak Alam, di sini, hari ini dibatalkan susulan kebakaran hutan yang terletak di bahagian belakang sekolah berkenaan.
Keputusan cuti bagi sesi petang itu diumumkan oleh pengurusannya selepas kawasan sekolah terbabit diselubungi asap akibat kebakaran tersebut sehingga mengganggu proses pembelajaran bagi murid sebelah pagi.
Pengurusannya dalam satu notis dikeluarkan menerusi Facebook Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2 berkata, pembatalan sesi petang persekolahan itu dibuat dengan mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan murid berikutan kualiti udara semasa.
“Pihak sekolah memutuskan sesi persekolahan petang pada hari ini dibatalkan sebagai langkah pencegahan demi menjaga kebajikan semua murid.
“Pihak sekolah akan memantau perkembangan situasi dan akan memaklumkan sebarang perubahan atau arahan lanjut dari semasa ke semasa melalui saluran komunikasi rasmi sekolah,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan suasana pembelajaran di SK Puncak Alam 2, terganggu apabila kawasannya diselubungi asap akibat kebakaran hutan bukit yang terletak di belakang sekolah itu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Rieza Asbar berkata, kejadian melibatkan kebakaran hutan seluas kira-kira 0.8 hektar dekat lereng bukit dan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.06 pagi tadi.
Pengurusan SK Puncak Alam 2 dalam notis sama memberitahu, pihaknya mengambil tindakan segera memastikan keselamatan semua murid dan guru termasuk mengenal pasti mereka yang mengalami masalah kesihatan akibat kejadian tersebut.
“Sejurus menerima maklumat mengenai kejadian tersebut, pihak pentadbiran sekolah telah mengambil tindakan segera dengan memantau keadaan semasa dan tahap keselamatan kawasan sekolah secara berterusan.
“(Pihak sekolah turut) mengagihkan pelitup muka kepada murid sesi pagi sebagai langkah mengurangkan pendedahan kepada asap dan mengumpulkan murid yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma, alahan atau mengalami ketidakselesaan akibat asap di ruang yang lebih selamat, selesa dan terkawal, di bawah pemantauan guru,” jelasnya. – UTUSAN
The post Kebakaran hutan: Sesi petang SK Puncak Alam 2 dibatalkan appeared first on Utusan Malaysia.



