Hutang 1MDB, tenaga boleh baharu negara antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

LocalPolitics
9 Jul 2026 • 8:03 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hutang 1MDB, tenaga boleh baharu negara antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Parlimen Malaysia. Gambar fail

KUALA LUMPUR - Isu hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pencapaian sasaran kapasiti tenaga boleh baharu negara dan perkara berkaitan warga emas serta orang kurang upaya (OKU) antara perkara yang dijadualkan dibincangkan pada Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang dimuat naik di laman sesawang rasmi Parlimen, Chong Chieng Jen (PH-Stampin) meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah keseluruhan hutang yang ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan bagi 1MDB dan jumlah yang telah dibayar oleh kerajaan terhadap hutang itu pada sesi soal jawab.

Beliau juga ingin tahu jumlah yang telah berjaya diperoleh semula oleh kerajaan daripada dana dan aset 1MDB yang diseleweng.

Selain itu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) bertanyakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengenai impak kerjasama rentas sektor terhadap pencapaian sasaran kapasiti tenaga boleh baharu negara, termasuk jumlah pelaburan yang berjaya direalisasikan, projek yang telah dilaksanakan dan cabaran yang masih menghalang kemajuan agenda peralihan tenaga.

Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) pula bertanyakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai jumlah warga emas dan OKU yang direkodkan sebagai gelandangan atau hidup terbiar di kawasan bandar pada tahun ini.

Beliau juga ingin tahu pelan jangka panjang kementerian untuk memperluas kapasiti pusat perlindungan, penjagaan dan intervensi sosial bagi menghadapi peningkatan populasi golongan rentan itu.

Turut dijadualkan adalah sesi penerangan mengenai Penyata DR.14 Tahun 2026, iaitu penambahbaikan Pusat Khidmat Krisis Bersepadu (OSCC) di Malaysia daripada Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat.

Selain itu, turut dijadualkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 16 hari hingga 16 Julai.- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved