Hutang, Cinta 3 Segi Dipercayai Punca Pergaduhan Jalanan Di Sentul

22 May 2026 • 3:03 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Hutang, Cinta 3 Segi Dipercayai Punca Pergaduhan Jalanan Di Sentul

KUALA LUMPUR - Satu pertikaian berlarutan melibatkan hutang sebanyak RM20,000 serta dakwaan konflik percintaan dipercayai menjadi punca pergaduhan ganas di Sentul Raya itu.

Polis memaklumkan, empat suspek warga tempatan terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita telah ditahan susulan insiden tengah hari itu, yang berlaku di tengah jalan raya yang sibuk.

Rakaman video berdurasi satu minit 29 saat itu turut tular di pelbagai platform media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa berkata, siasatan mendapati kes tersebut berpunca daripada konflik hubungan peribadi dan masalah kewangan antara individu yang saling mengenali.

“Punca pergaduhan adalah disebabkan masalah peribadi serta hutang, dan semua suspek telah direman selama dua hari bermula semalam hingga hari ini.

“Tiga lagi suspek telah dikenal pasti dan masih bebas, namun mereka akan dikesan secepat mungkin. Semua suspek saling mengenali, berkawan dan mempunyai hubungan peribadi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

Rakaman video yang tular itu menunjukkan suasana huru-hara melibatkan beberapa individu bergaduh secara terbuka di atas jalan raya, sekali gus menarik perhatian orang ramai.

Ia turut menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan kes keganasan jalanan di kawasan bandar.

Rakaman video kejadian boleh disaksikan menerusi pautan https://www.facebook.com/share/r/18ooKwtBv9/?mibextid=wwXIfr.

Polis kini meneruskan usaha mengesan baki suspek sementara siasatan terhadap insiden tersebut diteruskan. – Getaran, 22 Mei 2026