Hutang RM20,000, masalah peribadi punca pergaduhan

22 May 2026 • 1:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hutang RM20,000, masalah peribadi punca pergaduhan
Video tular memaparkan kejadian pergaduhan sekumpulan individu di Sentul Raya pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Masalah peribadi dan hutang RM20,000 dipercayai punca pergaduhan sekumpulan individu di sekitar Sentul Raya, pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintenden Jasni Zolpa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari.

"Empat suspek termasuk tiga wanita telah ditahan bagi membantu siasatan.

"Pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada masalah hubungan peribadi selain isu hutang berjumlah RM20,000," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini pada Jumaat.

Jasni berkata, kesemua suspek telah direman selama dua hari.

"Siasatan juga mendapati kesemua suspek saling mengenali dan mempunyai hubungan peribadi sebelum ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata," katanya.

Tambah beliau, polis turut mengenal pasti tiga lagi suspek yang masih bebas dan usaha mengesan serta menahan mereka sedang giat dijalankan.

“Kesemua tangkapan dilakukan di kawasan Sentul dan polis akan mengambil tindakan lanjut terhadap individu yang terlibat,” jelasnya.