Hutang negara meningkat: Pengurusan era Anwar kurang berkesan berbanding PN - Tun Faisal

LocalPolitics
23 Mar 2026 • 12:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tun Faisal

SHAH ALAM - Pengurusan hutang negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa kurang berkesan berbanding era kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, meskipun negara berhutang ketika pandemik dan endemik Covid-19, namun impaknya jelas membantu meringankan beban rakyat serta merancakkan ekonomi.

"Sebaliknya di zaman Anwar, biarpun tiada lagi pandemik Covid-19 atau pandemik lain, subsidi rakyat dipotong, tarif elektrik, air dinaikkan dan negara tetap berhutang tetapi kenapa impaknya gagal meringankan beban kehidupan rakyat selain tidak merancakkan perniagaan serta ekonomi?

"Berbanding Anwar, Muhyiddin jauh lebih banyak pengalaman (pentadbiran) pusat dan negeri selain keupayaan beliau telah teruji melalui pelbagai krisis sepanjang berada dalam kerajaan sejak krisis 1988 sehingga Pandemik Covid-19," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Dalam pada itu Tun Faisal menjelaskan, situasi ekonomi dijangka lebih mencabar susulan perkembangan geopolitik global, termasuk konflik melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang boleh memberi kesan kepada ekonomi dunia.

Malah beliau turut membandingkan trend hutang negara antara dua era pentadbiran tersebut berdasarkan data antarabangsa.

Menurutnya semasa era PN (2020–2022), hutang negara meningkat daripada sekitar RM0.79 trilion pada 2019 kepada RM1.08 trilion pada 2022, namun nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) distabilkan dan menurun kepada sekitar 60.2 peratus menjelang 2022.

"Walaupun hutang meningkat, ia bersifat respons krisis. Lebih penting, nisbah hutang kepada KDNK berjaya distabilkan dan menurun semula menjelang 2022. Satu petunjuk disiplin fiskal dalam situasi luar biasa.

"Pentadbiran Anwar bermula dalam keadaan ekonomi yang telah pulih, namun trend hutang menunjukkan peningkatan berterusan walaupun hasil kerajaan meningkat.

"Unjuran hutang negara dianggarkan meningkat kepada sekitar RM1.30 trilion menjelang 2025 dengan nisbah hutang kepada KDNK melepasi 70 peratus," katanya.

Beliau menegaskan, krisis hutang negara bukan sekadar angka, tetapi melibatkan kecekapan, keutamaan dan keberkesanan dasar Perdana Menteri dan kerajaan.

Menurutunya tanpa pengurusan fiskal yang kukuh dan pendekatan berfokus kepada kesejahteraan rakyat serta pertumbuhan ekonomi, peningkatan hutang berpotensi menjadi beban jangka panjang kepada negara.