
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengajak rakyat Sabah terus memperkukuh perpaduan, menjunjung semangat saling menghormati dan menyokong setiap usaha yang membawa kepada kemajuan negara. Beliau berkata perpaduan bukan sekadar slogan tetapi asas kepada kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Apabila rakyat bersatu hati, negara menjadi kuat. Ekonomi turut berkembang selain rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera dan apabila keamanan terus dipelihara,” katanya pada program Wacana Pemikir Peringkat Negeri Sabah di Dewan Sa’adah, Wisma Muis pada Sabtu.
Ucapan beliau disampaikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Beliau berkata dunia hari ini sedang menyaksikan gelombang geopolitik yang semakin menggoncang kestabilan sejagat yang di banyak negara, peperangan, krisis ekonomi, inflasi, konflik politik dan bencana kemanusiaan telah merampas ketenangan hidup rakyat.
“Ada yang kehilangan pekerjaan, ada yang kehilangan tempat tinggal malah ada yang kehilangan harapan.
“Apabila keamanan runtuh ekonomi juga bakal lumpuh sekali gus masa depan rakyat menjadi kabur namun di sebalik badai yang melanda dunia kita wajib mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan kepada Malaysia khususnya Sabah,” katanya.
Hajiji menyatakan ketenangan ini bukan datang dengan sendiri tetapi atas usaha berterusan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan yang sentiasa berikhtiar memelihara kestabilan, memperkukuh ekonomi, menjaga kebajikan rakyat serta mempertahankan keharmonian masyarakat.
Mengenai program Wacana Pemikir anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) beliau berkata ia merupakan platform penting bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu-isu semasa yang berlaku di peringkat antarabangsa.
Hajiji turut menyifatkan gabungan penceramah yang terdiri daripada latar belakang berbeza sebagai satu kekuatan program kerana mampu memberikan perspektif yang lebih menyeluruh termasuk isu geopolitik dan cabaran semasa.





