NTC 2026 Anjuran HASiL & CTIM Himpunkan 2,000 Peserta, Perkukuh Hala Tuju Sistem Percukaian Malaysia

LocalBusiness & Finance
4 Aug 2026 • 8:51 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Persidangan Percukaian Kebangsaan Ke-26 (NTC 2026) kembali menjadi platform perbincangan utama bagi komuniti percukaian negara apabila menghimpunkan hampir 2,000 peserta secara fizikal dan dalam talian.

Persidangan selama dua hari yang dianjurkan secara bersama oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dan Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM) itu menghimpunkan pembuat dasar, pengamal percukaian, badan profesional serta ahli akademik bagi berkongsi pandangan mengenai perkembangan semasa dan hala tuju sistem percukaian negara.

Memasuki lebih dua dekad penganjurannya, NTC terus berperanan sebagai wadah kerjasama antara kerajaan, industri dan komuniti percukaian dalam mendepani perubahan landskap percukaian yang semakin dinamik.

Image from: NTC 2026 Anjuran HASiL & CTIM Himpunkan 2,000 Peserta, Perkukuh Hala Tuju Sistem Percukaian Malaysia

Bagi edisi ke-26 kali ini, NTC 2026 mengangkat tema “Percukaian Masa Hadapan: Memacu Kepercayaan, Ketelusan dan Transformasi”, yang memberi penekanan terhadap keperluan sistem percukaian negara untuk terus berkembang seiring perubahan ekonomi, teknologi serta persekitaran global.

Majlis perasmian persidangan itu disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong; Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Anggota Lembaga HASiL, Tan Sri Johan Mahmood Merican; Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin; Presiden CTIM, Alan Chung serta barisan kepimpinan HASiL dan CTIM.

Image from: NTC 2026 Anjuran HASiL & CTIM Himpunkan 2,000 Peserta, Perkukuh Hala Tuju Sistem Percukaian Malaysia

Dalam ucapan perasmiannya, Amir Hamzah berkata sistem percukaian yang berkesan bukan sekadar berperanan sebagai mekanisme kutipan hasil, malah menjadi asas kepada pembinaan kepercayaan, kestabilan ekonomi dan daya saing sesebuah negara.

Ekonomi catat pertumbuhan 5.6% untuk H1 2026

Beliau berkata, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.6% pada separuh pertama 2026.

Bukan itu sahaja kedudukan negara dalam World Competitiveness Ranking 2026 meningkat ke tangga ke-15 dunia, mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan Malaysia menghadapi perubahan ekonomi global.

Sementara itu, HASiL terus memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan negara apabila merekodkan kutipan cukai langsung tertinggi dalam sejarah berjumlah RM203.991 bilion bagi tahun 2025.

Image from: NTC 2026 Anjuran HASiL & CTIM Himpunkan 2,000 Peserta, Perkukuh Hala Tuju Sistem Percukaian Malaysia

Pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen berterusan HASiL dalam memastikan budaya pematuhan cukai diperkukuh melalui pendekatan perkhidmatan, pendigitalan dan pengurusan hasil yang lebih berkesan.

Sepanjang persidangan berlangsung, peserta mengikuti sesi perbincangan yang menyentuh pelbagai isu percukaian semasa termasuk harga pindahan, insentif cukai, daya saing serantau serta perkembangan percukaian antarabangsa.

Dalam pada itu, Abu Tariq berkata transformasi sistem percukaian negara kini dipacu oleh perkembangan teknologi, penggunaan data dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh pematuhan dalam kalangan pembayar cukai.

Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan, industri dan komuniti percukaian melalui NTC 2026 diharap dapat membantu membangunkan sistem percukaian negara yang lebih responsif, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi global.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved