KAJANG – Seramai empat individu termasuk seorang wanita diberkas kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di Jalan Zahra 1, Semenyih di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kajang berkata, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya terkesan video tular berdurasi 41 saat itu memaparkan perbuatan curi kabel dilakukan empat individu dengan menggunakan dua kenderaan.
"Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5.45 pagi, kita menerima laporan daripada seorang penghuni kawasan perumahan berhampiran lokasi kejadian pada jam 8.29 pagi, semalam.
“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kajang berjaya menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 39 tahun di sekitar Batu 9 dan Batu 14 Hulu Langat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Naazron berkata, polis turut merampas dua buah kenderaan dipercayai digunakan semasa kejadian iaitu Honda Jazz berwarna putih dan Perodua Myvi berwarna biru selain beberapa barangan lain yang dijadikan bahan bukti.
"Semakan mendapati suspek pertama mempunyai 24 rekod jenayah dan 10 rekod narkotik, manakala suspek kedua memiliki 10 rekod jenayah serta empat rekod narkotik.
“Suspek ketiga pula mempunyai lima rekod jenayah dan enam rekod narkotik sementara suspek wanita mempunyai tiga rekod narkotik,” katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Polis menyeru masyarakat supaya terus bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Kawalan Daerah Kajang di talian 03-89114243,” katanya.






