
KUALA LUMPUR - Ahli Bersatu yang digantung, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membuat pendedahan berani dengan mendakwa partinya mengatur pemilihan dalaman pada 2024.
Bercakap di podcast Trick Lama Big Boom Media, Ahli Parlimen Machang itu mengulangi kritikan beliau terhadap parti, mendakwa proses pemilihan telah dimanipulasi.
Wan Fayhsal, yang digantung selepas mendedahkan pelbagai pekung dalaman parti, memperincikan peristiwa yang membawa kepada penggantungannya, dengan menuduh beliau dihukum kerana mendedahkan penipuan pilihan raya.
Beliau berkata demikian dalam pertemuan eksklusif bersama wartawan veteran, Pengarah Eksekutif Kumpulan Big Boom Media Datuk Ahirudin Attan, atau lebih dikenali sebagai Rocky Bru, dan Ketua Pengarang Scoop, Terence Fernandez.
Dalam perbincangan berkenaan, beliau secara khusus menyentuh persaingan jawatan Ketua Armada (sayap pemuda Bersatu) yang diadakan pada Oktober 2024.
Wan Fayhsal mendakwa pemilihan itu 'dicurangi' oleh jawatankuasa pilihan raya parti, melabelnya sebagai 'kotor'.
Beliau mendakwa persaingan itu dimanipulasi untuk memastikan kemenangan Muhammad Hilman Idham, yang didakwanya sudah tewas kepada Akmal Zahin Zainal Zahir dalam persaingan yang adil sebelum keputusan itu diubah melalui pengiraan yang diseleweng.
“Pemilihan ini adalah satu penipuan,” tegas Wan Fayhsal.
“Ia adalah pilihan raya yang dicurangi, kotor, oleh jawatankuasa pilihan raya parti. Saya telah jelaskan perkara itu dengan amat nyata.”
Dalam persaingan Oktober 2024, Hilman, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, memperoleh 1,888 undi, manakala pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir, meraih 1,718 undi. Walau bagaimanapun, Wan Fayhsal mendakwa persaingan itu dimanipulasi melalui pembatalan undi dan taktik lain yang memihak kepada Hilman, yang didakwanya sealiran dengan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Azmin Ali.
Kelmarin, Wan Fayhsal dilaporkan berkata, kemenangan itu dicapai melalui taktik 'silap mata'. Beliau secara khusus merujuk kepada cara undi dibatalkan, sekali gus mengubah keputusan memihak kepada Hilman.
Semalam, Ketua Sayap Pemuda Bersatu Batu Gajah, Nadhir Zuhair Nozi membalas kritikan Wan Fayhsal, menuduhnya menyebarkan dakwaan 'berniat jahat' yang bertujuan untuk merosakkan reputasi parti.

Beliau seterusnya mendakwa keahlian Wan Fayhsal digantung kerana membuat tuduhan palsu mengenai politik wang dan beliau telah gagal menghadiri empat sesi perbicaraan disiplin.
Wan Fayhsal mendedahkan di podcast bahawa beliau pada mulanya sudah menyuarakan kebimbangan ini secara dalaman dan sulit dengan Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun susulan pendedahan itu, aduan rasmi telah difailkan terhadapnya oleh Setiausaha Politik Muhyiddin kerana membuat dakwaan tersebut.
“Saya bersemuka dengan Presiden secara dalaman, bukan di media sosial,” tegas Wan Fayhsal.
Turut serta dalam podcast itu, rakan seperjuangannya yang dipecat, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang meluahkan rasa kecewa dan menyifatkan tindakan yang diambil terhadap mereka sebagai 'zalim'.
Beliau menyifatkan perbicaraan itu sendiri sebagai sangat tidak adil, mendakwa ia dikendalikan oleh panel yang berat sebelah.
Menurut Wan Saiful, soalan-soalan panel tidak tertumpu kepada salah laku yang didakwa dilakukannya, sebaliknya bertujuan untuk membongkar konspirasi yang kononnya lebih besar, termasuk soalan 'siapakah dalang di sebalik semua itu' dan secara khusus bertanya, 'apakah peranan Hamzah Zainuddin?'
Kenyataan-kenyataan ini membayangkan tindakan pembersihan dalam Bersatu berkait dengan perebutan kuasa dalaman yang lebih mendalam, berkemungkinan bertujuan untuk melemahkan kedudukan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang juga Ketua Pembangkang.
Wan Fayhsal, menyokong teori ini, menyifatkan situasi itu sebagai perebutan antara 'dua singa di gunung yang sama', dengan pengaruh Hamzah dihakis secara sistematik oleh lingkungan dalaman presiden.
“Kuasa, pengaruh, atau kewibawaan Hamzah sedang disekat,” katanya, sambil menambah pergolakan dalaman sedemikian menyumbang kepada kelemahan Perikatan Nasional sebagai kuasa pembangkang di Parlimen. – 23 Oktober 2025
The post ‘Ia diatur, kotor’: Wan Fayhsal tegaskan Hilman tak patut menang Ketua Armada Bersatu appeared first on Scoop.
